View: 4345|Reply: 0
|
[Terengganu]
'Saya bukan suka-suka pakai mesin oksigen'
[Copy link]
|
|
Dhia Saffia terpaksa menggunakan bantuan mesin oksigen setiap hari. FOTO Ihsan Dhia Saffia Mohd Azmir
Dungun: "Netizen menyangka saya memakai bantuan (mesin) oksigen hanya suka-suka untuk content (kandungan) TikTok saja tetapi sebenarnya saya adalah pesakit interstitial lung disease (penyakit paru-paru interstisial) sejak berusia empat bulan," kata Dhia Saffia Mohd Azmir.
Gadis asal Gong Pasir, di sini, menghidap penyakit berkenaan menyebabkan kerosakan atau parut pada tisu paru-paru yang memberi kesan terhadap keupayaan bernafas serta oksigen yang secukupnya ke dalam darah.
Dhia Saffia, 19, turut mendapat perhatian di TikTok kerana keyakinan dirinya yang sentiasa berpenampilan menarik dan gemar bersolek biarpun memakai tiub oksigen setiap hari.
Menurut Dhia Saffia, dia perlu menggunakan bantuan mesin oksigen untuk membantu pernafasannya sejak bayi sehingga kini, namun mengakui ia bukan bebanan untuknya.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia mempunyai dua mesin oksigen termasuk jenis mudah alih untuk kegunaan di luar kerana tanpa bantuan oksigen dia mudah berasa penat.
"Tanpa bantuan oksigen paras oksigen saya menurun antara 90 hingga 92, manakala dengan bantuan mesin itu bacaannya boleh mencapai 95 hingga 97 peratus tetapi nak dapat bacaan 99 hingga 100 peratus memang sukar.
"Saya tidak boleh berjalan terlalu lama seperti berjalan di pusat beli-belah atau tempat letak kereta terlalu jauh kerana cepat penat dan mudah lemau (lesu). Kadang-kadang ada juga (masa) tak guna tiub (oksigen) seperti ketika mandi atau ke dapur sekejap," katanya ketika dihubungi, hari ini.
GAMBAR Dhia Saffia ketika kanak-kanak. FOTO Ihsan Dhia Saffia Mohd Azmir
Menurutnya, dia sedang mengurangkan kebergantungan dengan mesin berkenaan dan mengakui ia juga disarankan oleh doktor untuk cuba bernafas tanpa bantuan mesin itu.
Katanya, zaman remajanya juga tidak seperti rakan seusia kerana dia tidak boleh melakukan aktiviti lasak dan menyertai acara sukan kerana keadaan dirinya, namun mengakui rakan sentiasa bersama dan tidak meminggirkannya.
"Keluarga dan rakan sangat memberi sokongan, malah mereka akan memilih aktiviti yang kurang berjalan. Sebenarnya saya juga pernah berasa seperti putus asa kerana sudah terlalu lama bergantung dengan bantuan oksigen.
"Tetapi saya selalu fikir ini ujian saya dan mungkin tidak lama lagi saya boleh berhenti menggunakan oksigen dan sedang belajar untuk tidak selalu menggunakannya," katanya.
Dhia Saffia berkata, perkongsiannya di TikTok hanya untuk menjadi dirinya sendiri dan bukan untuk meraih perhatian netizen dengan keadaan serta penyakitnya.
"Kalau diberi pilihan saya juga tak mahu bergantung dengan bantuan (mesin) oksigen dan membawa mesin itu setiap kali keluar. Lagipun penggunaannya juga perlu ada nasihat doktor dan harganya tidak murah.
"Tetapi ramai juga yang memberi sokongan dan kata positif untuk saya. Saya juga menyimpan impian mahu menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa menggunakan mesin itu," katanya bekerja sebagai host live (hos siaran langsung) sebuah butik kosmetik.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... pakai-mesin-oksigen |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|