Seremban: Dengan hanya melabur RM1,000, anda akan mendapat keuntungan sehingga RM30,000 dalam masa beberapa jam.
Promosi itu ditawar sindiket pelaburan tidak wujud yang menyebabkan seorang pegawai khidmat pelanggan terpedaya, hingga rugi RM134,500.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa lelaki pada 1 Disember lalu mendakwa diperdaya selepas berurusan dengan individu di WhatsApp.
Katanya, mangsa diminta menyediakan modal permulaan RM1,000 selain membayar sejumlah wang untuk menebus wang keuntungan RM30,000 yang dijanjikan.
Mangsa membuat pindahan wang kepada tujuh akaun keldai yang berbeza hingga kerugian ratusan ribu ringgit," katanya hari ini.
Dalam kes kedua, Arifai berkata, seorang kontraktor membuat laporan kelmarin mendakwa kerugian RM285,000 selepas ditawar pelaburan dengan modal permulaan RM30,000.
Katanya, mangsa dijanji keuntungan sebanyak 90 peratus dalam beberapa jam tetapi perlu membuat beberapa pembayaran sebelum dapat menebus pulangan itu.
"Mangsa membuat lima kali pindahan wang ke empat akaun keldai yang berbeza," katanya.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan dalam talian dan sentiasa membuat semakan menerusi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599.
|