Batu Pahat: Pekerja penyelenggaraan syarikat telekomunikasi didenda RM1,500 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan menumbuk muka kembarnya, awal bulan ini.
Tertuduh, Rohaizad Md Noah, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kembarnya, Rosli di sebuah kopitiam di Jalan Bukit Pasir di sini, pada jam 10.30 pagi, 1 Disember lalu.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
|