|
MOHAMMAD IZZAT HANAFI berbual dengan ibunya, Zainal Othman dan ibu saudaranya, Azizah Rabu (kiri) selepas menerima diploma pada Majlis Konvokesyen UTHM Ke-23 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM di Batu Pahat.
BATU PAHAT: Berulang sejauh kira-kira 60 kilometer sehari selama lapan bulan ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh demi memastikan anaknya memperoleh segulung diploma yang diimpikannya.
Itulah pengorbanan Zainab Othman, 64, bagi memastikan anak bongsunya, Mohammad Izzat Hanafi, 22, berjaya menamatkan pengajiannya dalam Diploma Teknologi Maklumat dan kejayaan itu diraikan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Ke-23 d di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM, dekat sini hari ini.
Menceritakan perjalanan kehidupan anak bongsu daripada dua beradik itu, Zainab yang juga pesara guru berkata, Mohammad Izzat mengalami masalah saraf mengecut sejak dilahirkan selepas tulang pinggulnya patah dan menjalani empat kali pembedahan.
Akibatnya, kedua-dua kakinya tidak boleh digerakkan selain pembesaran badan terbantut manakala pergerakan tangan terbatas kecuali bahagian kepala yang dapat digerakkan dengan baik.
“Dia mula mendaftarkan diri sebagai penuntut di UTHM Kampus Pagoh pada Julai 2019 dan semua urusan pergerakan ke kampus diuruskan ayahnya kerana tidak boleh tinggal di asrama akibat kesukaran menguruskan diri.
“Walau bagaimanapun, kira-kira dua bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) berlaku, ayahnya Hanafi Othman meninggal dunia menyebabkan saya terfikir siapa yang akan menguruskan perjalanannya ke kampus kerana saya tidak boleh memandu walaupun mempunyai lesen,”katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Zainab, tempoh PKP digunakan sepenuhnya untuk memahirkan mengendalikan kereta kerana Mohammad Izzat hanya belajar secara dalam talian.
Sebaik kampus dibuka semula untuk pembelajaran bersemuka, dia menghantar Mohammad Izzat setiap kali ada kelas dan ketika itu terpaksa memberanikan diri menempuh perjalanan dari kediamannya di Taman Meranti, Bakri di Muar ke Pagoh selama dua semester.
“Bukan itu sahaja, saya juga perlu berulang ke tempat latihan amalinya di Batu Pahat selama enam bulan dengan menempuh perjalanan kira-kira 90 kilometer dari rumah. Alhamdulillah, hasil usaha gigihnya itu kini Mohammad Izzat sudah mencapai kejayaannya tersendiri dan berharap dapat dijadikan bekalan jaminan kehidupan masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Izzat amat berterima kasih kepada rakan-rakan sekuliahnya yang selama ini sebagai penggerak kejayaannya.
“Namun, pengorbanan besar ibu untuk memastikan kejayaan ini amat besar dan ia tidak akan terbalas oleh saya,” katanya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... anak-hadiri-kuliah/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|