View: 20607|Reply: 0
|
Cukai jualan LVG beri kesaksamaan persaingan kepada peniaga tempatan
[Copy link]
|
|
Cukai jualan LVG beri kesaksamaan persaingan kepada peniaga tempatan
FOTO HIASAN
Kuala Lumpur: Cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG) diimport yang dijual dalam talian, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024, bertujuan memberi kesaksamaan persaingan kepada perniagaan tempatan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Katanya telah menjadi kelaziman di peringkat global untuk tidak mengenakan cukai jualan dan duti import ke atas barang import di bawah nilai 'de minimis' (minimum) dan di Malaysia, nilainya ditetapkan pada RM500 seunit barang bagi memudahkan urusan pelepasan kastam serta penghantaran melalui pos dan kurier.
"Kepesatan transaksi jualan dalam talian yang menjadi pilihan pengguna pada masa ini, telah mewujudkan layanan cukai yang tidak sama rata antara perniagaan dalam talian yang mengimport barang dari luar negara dan perniagaan yang beroperasi secara fizikal di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MoF, terdapat 'loophole' dalam sistem cukai jualan sedia ada yang menyebabkan amalan pengelakan cukai jualan berlaku dalam kalangan penjual.
Katanya penggubalan akta berkaitan pengenaan cukai jualan ke atas LVG diimport ke Malaysia telah diumumkan dalam Belanjawan 2022.
Cukai jualan LVG diimport asalnya dijadual untuk dilaksanakan pada 1 April 2023 tetapi ditangguh bagi membolehkan kerajaan MADANI mengadakan sesi libat urus bersama-sama pemain industri untuk memperhalusi isu-isu pelaksanaan, katanya.
"Ini untuk memastikan pelaksanaan cukai ini dapat mencapai objektif, terutamanya untuk menangani isu ketidaksamarataan layanan cukai ke atas barang-barang bernilai rendah antara perniagaan tempatan yang beroperasi secara fizikal dan perniagaan dalam talian," katanya.
Cukai jualan pada kadar 10 peratus dikenakan ke atas LVG bernilai RM500 ke bawah yang diimport ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.
Cukai ini tidak dikenakan ke atas rokok, produk tembakau, minuman keras dan rokok paip kerana kesemua barang ini telah dikenakan duti import, duti eksais dan cukai jualan.
Menurut MoF, penjual dalam talian tempatan dan luar negara yang menjual LVG diimport ke Malaysia dengan nilai melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan boleh memohon untuk berdaftar di bawah Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022 melalui mylvg.customs.gov.my/.
Negara-negara jiran telah menguatkuasakan cukai ke atas LVG, antaranya Singapura berkuat kuasa 1 Januari 2023 dan Indonesia (1 April 2023), katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/bisnes ... da-peniaga-tempatan
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|