View: 11034|Reply: 1
|
Misteri perempuan tua di sebalik pokok kemang
[Copy link]
|
|
Misteri perempuan tua di sebalik pokok kemang
PERNAH dengar pokok kemang? Selalunya orang panggil pokok binjai. Pokoknya tinggi merimbun, banyak cabang.
Orang tua aku panggil pokok kemang. Keluarga aku ada kisah dengan pokok ini. Masa aku kecil, pokok ni antara objek yang paling aku takuti. Bukan aku je, tapi budak-budak kampung semua takut dengan pokok ni.
Kampung aku terletak di Senggarang, Batu Pahat, Johor. Masa aku kanak-kanak dulu, ada sebatang pokok kemang yang besar terletak kira-kira enam tujuh meter dari jalan kampung kami. Pokok kemang tu menyimpan banyak cerita yang aku takkan lupakan sampai sekarang.
Kisah pasal pokok kemang ini berlaku semasa aku berusia 9 tahun. Abang aku masa itu berumur 12 tahun. Setiap malam kecuali malam Jumaat dan Sabtu, kami berdua akan pergi mengaji di rumah Hj. Sungip yang jaraknya kira-kira lapan tiang lampu dari rumah kami.
Untuk ke rumah Hj. Sungip, kami perlu melintasi kawasan pokok kemang. Kawan-kawan selalu kata, pokok itu ada penunggu. Aku memang penakut, tapi abang aku agak berani. Kata abang aku, kalau kita tak kacau penunggu tu, ‘dia’ pun tak kan kacau kita.
Setiap kali melintasi pokok kemang tu, kami akan baca al-Fatihah dengan suara yang kuat. Pendek kata masa itu kalau ditanya pada penduduk kampung siapa yang membaca al-Fatihah dengan kuat bila lalu di kawasan pokok kemang tu, mereka akan kata, `Oh, itu anak-anak Hassan.’
Orang kampung yang terserempak dengan kami dua beradik bila lalu di kawasan pokok itu mesti tersengih lihat gelagat kami. Sambil baca al-Fatihah dengan kuat, abang juga akan pegang erat tangan aku.
Suatu malam ketika pulang mengaji, kami terlupa untuk membaca al-Fatihah sewaktu menghampiri kawasan pokok tersebut. Sebabnya, kami leka bersembang pasal cerita Night Rider, siri televisyen popular yang kami baru tonton di rumah Hj. Sungip selepas mengaji.
Sebab asyik berborak, kami terlupa membaca al-Fatihah. Tahu-tahu dah sampai di sebelah pokok kemang. Masa itu entah dari mana, tiba-tiba muncul seorang perempuan tua tidak jauh dari kami.
Aku dah takut. Abang pun sama panik, menggelabah. Kami menjerit sekuat hati. Nak lari, tapi tak boleh. Kaki seakan melekat di tanah. Aku tengok abang masa tu mula membaca al-Fatihah, tapi bacaannya sangkut setakat ‘Bismi… bismi…’ saja. Mulutnya macam terkunci.
Aku pula terus menjerit sekuat hati, meronta-ronta nak lari tapi tak boleh. Dalam panik tu, aku tengok abang aku jatuh pengsan. Dah tinggal aku seorang yang masih sedar di situ.
Perempuan tua itu hanya diam memerhati kami. Aku terus menjerit sambil menangis. Tiba-tiba je kaki terasa ringan. Apa lagi, terus aku berlari tak cukup tanah tinggalkan perempuan tua itu. Tak berani aku toleh ke belakang. Abang aku pun terpaksa aku biarkan saja kat situ.
Sampai di rumah, semua terkejut tengok aku berlari menangis sambil tercungap-cungap. Mereka hairan lihat cuma aku seorang yang balik. Terus aku ceritakan apa yang berlaku.
Lepas itu, abah pergi ke rumah jiran-jiran meminta bantuan untuk mencari abang aku yang aku tinggalkan di kawasan pokok kemang.
Abah dengan dua lagi abang aku yang lain bersama beberapa penduduk kampung terus pergi ke lokasi pokok kemang tu. Sampai sana, mereka tak jumpa pun abang aku. Puas mereka mencari di sekeliling kawasan tu, tapi tak nampak pun kelibat abang aku yang pengsan.
Ke mana abang hilang? Itu yang menjadi tanda tanya kami. Ada yang mengagak abang dah balik ke rumah sendirian. Tapi, itu mustahil. Kalau betul abang balik sendiri, kenapa kami tak bertembung dengannya semasa nak ke kawasan pokok kemang tadi?
Setelah sejam puas mencari tak jumpa, ayah cadangkan mereka semua pulang dan cadangkan sambung pencarian keesokan hari. Sambil nak balik tu, penduduk kampung masih terus memanggil-manggil nama abang.
Tiba-tiba salah seorang penduduk, Wak Jas menjerit beritahu abang dah ditemui. Abang aku ditemui dalam keadaan duduk sambil menangis teresak-esak.
Abang terus dibawa balik ke rumah. Keadaannya macam orang bingung dan ketakutan. Apa yang menghairankan penduduk kampung, macam mana mereka tak nampak abang, sedangkan berulang kali mereka mencari di tempat abang aku dijumpai tu.
Di rumah masa tu, ramai penduduk kampung yang datang. Abang dibaringkan. Wak Busro, salah seorang penduduk yang pandai merawat mengelap muka abang dengan air jampinya. Tak lama lepas tu, abang kembali sedar dan normal. Dah mampu bersoal jawab dengan dengan orang di sekelilingnya. Satu persatu soalan ditanyakan.
Aku ingat lagi, antara soalan yang ditanya adalah kenapa mereka yang mencarinya tidak nampak abang, sedangkan abang nampak kami. Pelik, kan?
Kata abang, dia nampak abah dan orang-orang kampung yang mencarinya, tapi mereka tak nampak abang. Abang kata, dia jawab panggilan penduduk kampung yang mencarinya. Tapi, tiada siapa yang dengar.
Abang juga melambai-lambai tapi tak ada seorang pun yang nampak. Kata abang, dekat 10 kali mereka yang mencari melintas di depannya, malah ada yang bertentang berdepan dengannya, tapi tak ada yang nampak.
Malah kata abang, Wak Jas yang menemuinya pernah sekali tersepak kakinya. Bila ditanya Wak Jas, dia kata memang dia terasa tersepak sesuatu, tapi bila disuluh, tak ada apa-apa pun kayu, tunggul, batu, atau apa saja objek yang dia sepak.
Abang juga ceritakan, dalam masa dia ‘hilang’ itu, dia ditemani oleh perempuan tua. Perempuan tua itu tidak berkata apa-apa, hanya memerhatikan gelagat penduduk kampung yang sedang mencarinya.
Setiap kali abang menyahut panggilan daripada penduduk kampung, perempuan tua itu akan menoleh ke arah abang. Tak sanggup ditenung oleh perempuan itu, abang terus tundukkan kepala.
Kata abang, perempuan tua itu adalah perempuan yang aku dan abang nampak sebelum dia pengsan.
Perempuan tua itu siap pesan pada abang, “Jangan menangis. Mereka akan jumpa anak sekejap lagi. Nenek pergi dulu, cu.” Lepas berkata-kata itu, perempuan tua itu terus ghaib.
Lepas perempuan itu hilang, abang terdengar suara Wak Jas memanggil namanya. Dalam keadaan yang lemah, sahutan abang didengari oleh Wak Jas. Kebetulan Wak Jas adalah orang terakhir yang hendak meninggalkan kawasan tersebut.
Akibat kejadian itu, lama juga aku dan abang tak pergi mengaji di rumah Hj. Sungip. Selepas kira-kira dua minggu bercuti, barulah kami pergi mengaji semula. Kali ini bila pergi mengaji, pasti abah atau abang-abang aku yang lain yang lebih besar akan menemani kami.
Begitu juga waktu balik, salah seorang daripada mereka dah tunggu kami di depan rumah Hj. Sungip. Setelah kira-kira sebulan ditemani oleh ‘pengawal peribadi’, akhirnya kami sudah berani pergi dan balik mengaji berdua saja.
Namun, setiap kali melangkah dari rumah, kami terus membaca al-Fatihah hinggalah sampai ke rumah Hj. Sungip. Begitu juga ketika balik. Melangkah saja keluar rumah Hj. Sungip, kami terus baca al-Fatihah hinggalah sampai ke pintu rumah. Bacaan kami bertambah kuat waktu melintasi kawasan pokok kemang tersebut.
Walaupun sudah lebih 20 tahun kejadian itu berlaku, sehingga sekarang masih kami ingat. Apa lagi bila kami berkumpul sesama ahli keluarga, sesekali kami akan menyingkap kenangan abang yang pernah hilang di situ.
Pokok kemang itu sekarang sudah tiada. Sudah ditebang. Yang tinggal kini hanyalah tunggul pokok itu setinggi setengah meter.
Sampai sekarang kami masih tertanya-tanya, siapa perempuan tua di pokok kemang itu?
**Diceritakan oleh Mohd Razip.
Sumber:https://utusantv.com/2022/01/06/ ... balik-pokok-kemang/
|
|
|
|
|
|
|
|
Adakah nama kampung parit kemang sempena kisah ini? |
|
|
|
|
|
|
| |
|