|
Ismail Musa, 99, bersama dua anaknya Fatimah Ismail, 70, (kiri) dan Kamariah Ismail, 66, (tengah) ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Kemat. FOTO NAZDY HARUN
Kuala Berang: "Saya sudah lali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana saban tahun inilah rutin yang perlu dilalui," kata Ismail Musa, 99, dari Kampung Kemat dekat sini.
Menurutnya, rutin berpindah ke PPS sudah menjadi menjadi kebiasaan buatnya sejak menetap di kampung itu lebih 70 tahun lalu.
Katanya, dahulu, suasananya lain kerana tiada kemudahan teknologi yang boleh memaparkan mangsa-mangsa berpindah ke PPS seperti sekarang.
"Namun, beginilah adat tinggal di kawasan rendah, selain berhampiran sungai yang mudah terdedah dengan limpahan air sungai sekiranya hujan lebat yang berlaku saban tahun.
"Bagi saya sudah lali dengan kejadian banjir yang berlaku saban tahun memandangkan usia saya juga sudah menjangkau 100 tahun," katanya.
Anaknya, Fatimah Ismail, 70, berkata, bapanya masih kuat mengharungi banjir untuk ke PPS di Kampung Kemat, namun kebiasaannya pasukan penyelamat, hadir membantu lebih awal.
"Bukannya lama kami di sini (PPS) hanya satu, dua dan paling lama tiga hari, sementara paras air masih tinggi di kawasan rumah.
"Sudah menjadi kebiasaan buat kami di sini, sama ada lama atau sekejap berada di PPS, namun pengalaman berdepan banjir menjadi pedoman untuk bersiap sedia setiap kali tibanya musim tengkujuh," katanya.
Menurutnya, bapanya masih boleh menguruskan diri sendiri termasuk berpindah ke PPS sekiranya diarahkan dan dia hanya perlu menguruskan suaminya Ramli Hamzah, 78, yang lumpuh separuh badan.
"Memandangkan suami lumpuh, anak saya membawa bapanya pulang ke rumahnya di Dungun, kerana dapat menguruskan bapanya dengan sempurna.
"Kalau di PPS mungkin sukar untuk saya menguruskan suami kerana pelbagai kekangan, jadi lebih baik anak membawa bapanya pulang buat sementara waktu ketika saya dan ayah masih di PPS," katanya.
Sementara itu, seorang lagi anaknya Kamariah Ismail, 66, yang menetap di Felda Kertih 3, Dungun, turut bermalam di PPS apabila terperangkap selepas pulang menjenguk ayahnya di kampung berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... li-berpindah-ke-pps |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|