|
GAMBAR hiasan
Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menolak pengakuan bersalah lelaki yang didakwa mencabul penumpang wanita di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Maluri yang videonya tular di media sosial, Julai lalu.
Selain itu, mahkamah juga mengarahkan penganggur berkenaan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan psikiatri.
Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan demikian selepas tertuduh Shahron Nizam Alias, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan menyifatkan kejadian berlaku disebabkan lelaki itu tidak waras.
Illi Marisqa berkata, mahkamah menolak pengakuan bersalah itu atas alasan terdapat isu berhubung ketidakwarasan yang dibangkitkan pihak pendakwaan berikutan tertuduh sedang menjalani rawatan mental di sebuah hospital ketika prosiding berjalan, hari ini.
"Pengakuan (bersalah) tertuduh tidak boleh diterima dan tidak bersyarat," katanya.
Sebelum itu, Shahron Nizam mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Illi Marisqa.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 28 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di stesen LRT Maluri laluan Ampang, dekat sini, pada 7.58 pagi, 28 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman berkata, tertuduh mempunyai tahap kesihatan mental kurang baik.
"Tertuduh mempunyai penyakit Skizofrenia dan dipercayai tidak sedar apabila melakukan kesalahan itu dan masih menerima rawatan doktor," katanya.
Dalam rayuannya, lelaki itu yang tidak diwakili peguam berkata, ketika kejadian dia tidak sedar perbuatan dilakukan.
"Saya tidak sedar, kalau sedar saya tidak buat perkara ini, saya ada penyakit," katanya.
Mendengar hujahan kedua-dua pihak, Illi Marisqa mengarahkan lelaki itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan 29 Januari depan untuk laporan psikiatri.
Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap wanita di sebuah stesen LRT.
Terdahulu, tular satu video berdurasi seminit 11 saat itu turut memaparkan wanita berkenaan diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Lelaki berkenaan juga mengetuk cermin tren menggunakan kasut.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ke-hospital-bahagia |
|