View: 17054|Reply: 0
|
[Kelantan]
'Berniaga dalam air demi penuhi keperluan mangsa banjir'
[Copy link]
|
|
Mohd Noor tetap meneruskan perniagaan demi memenuhi keperluan penduduk ketika musim banjir melanda di Kampung Kajang Sebidang. NSTP/Siti Rohana Idris
TUMPAT: Paras air yang memasuki kedai runcitnya sedalam hampir satu meter, tidak menghalang seorang peniaga di sini meneruskan perniagaannya ketika musim banjir ini demi memenuhi keperluan orang ramai.
Peniaga, Mohd Noor Ismail, 35, berkata sejak semalam air memenuhi kawasan kampung dan parasnya semakin meningkat menyebabkan sekitar Kampung Kajang Sebidang umpama laut.
Beliau yang menjalankan perniagaan runcit sejak setahun lalu, berkata selagi keadaan masih terkawal, dia tetap membuka kedai runcitnya untuk penduduk kampung yang rata-ratanya datang dengan menaiki perahu atau bot penambang.
"Setiap hari saya buka kedai runcit bermula jam 7 pagi sehingga 10 malam. Namun, berikutan situasi banjir ketika ini, saya tidaklah sehingga selewat itu kerana penduduk pun jarang datang membeli pada waktu malam kerana bimbang keselamatan akibat banjir.
"Walaupun kedai runcit turut dimasuki air, saya tetap meneruskan perniagaan kerana membantu orang kampung yang terputus bekalan makanan dan sukar keluar membeli kerana perlu menaiki bot penambang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Noor berkata, selain makanan kering, petrol adalah menjadi barangan pilihan pembeli sama ada digunakan untuk motosikal atau pembawa bot penambang.
Katanya lagi, sepanjang musim tengkujuh dan dilanda banjir, dia tinggal di kedai runcit itu walaupun mempunyai rumah kampung sebelah berikutan bimbang premisnya dipecah masuk.
"Selain itu juga, bimbang juga jika air makin meningkat dan akan menjejaskan barangan jualan.
"Dari segi bekalan barangan pula, saya tiada masalah untuk keluar menambah stok kerana turut memiliki sebuah bot yang digunakan untuk mengangkut barang jualan," katanya.
Penduduk, Syaharudin Mohd Nor, 46, berkata ada beberapa lagi kedai runcit yang menjadi tumpuan penduduk kampung yang terjejas banjir namun yang lain tidak dinaiki air seperti premis milik Mohd Noor.
Dia berkata, setiap kali dilanda banjir, penduduk berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan kerana laluan tidak dapat dilalui kenderaan ringan dan sesetengah tempat pula terus terputus hubungan.
"Nasib baik ada beberapa kedai runcit yang masih boleh menjalankan urus niaga namun jika untuk lauk basah pula, penduduk terpaksa juga keluar ke pasar menaiki bot penambang," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... rluan-mangsa-banjir |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|