Keadaan di Kampung Siram, Rantau Panjang petang tadi yang dinaiki air sejak tengah malam kelmarin di Jalan Kampung Tersang ke Rantau Panjang akibat limpahan air benteng pecah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Lanchang, di sini, pecah akibat arus deras pagi semalam. Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
KOTA BHARU: Empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan, menjadikan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 21,066 orang setakat jam 10 malam ini berbanding 17,335 orang petang tadi.
Kesemua mangsa daripada 6,797 keluarga itu berlindung di 67 PPS di lima daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah, Tumpat dan Gua Musang.
Portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, jumlah mangsa di Pasir Mas meningkat kepada 18,364 orang berada di 37 PPS berbanding 15,546 orang petang tadi.
Mangsa banjir paling ramai berlindung di Pasir Mas adalah di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi (2,061 orang), SK Sri Rantau Panjang 2 (1,948 orang) dan SK Gual To' Deh (1,827 orang).
Selain itu, mangsa banjir di Kuala Krai juga meningkat kepada 1,136 orang (19 PPS) berbanding 1,105 orang sebelum ini, Tumpat (1,121 orang, empat PPS), Tanah Merah (327 orang, lima PPS) dan Gua Musang (118 orang, dua PPS).