KUANTAN: Mayat seorang penumpang Perodua Kancil yang rentung dalam kenderaan akibat
kemalangan dengan sebuah treler di KM18 Jalan Pekan-Nenasi dekat sini semalam, dikenal pasti sebagai seorang penuntut kolej.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata penumpang tempat duduk hadapan dikenali sebagai Muhammad Hanif Ikwan Md Kamizi, 18.
"Mangsa ialah seorang pelajar kolej berasal dari Taman Peramu Jaya di sini dan dipercayai rakan kepada pemandu iaitu Muhammad Shafiq Haikal Mohd Najib yang terpelanting keluar dari kenderaan dan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dilaporkan sebelum ini, kereta yang dinaiki mereka berdua bertembung dengan sebuah treler pada jam 8.45 malam kelmarin.
Muhammad Shafiq Haikal, 18, maut di tempat kejadian manakala penumpangnya melecur sepenuhnya dan tiada dokumen pengenalan diri ditemui ketika itu.
Pemandu treler berusia 42 tahun yang dalam perjalanan dari Pekan ke Johor Baru, Johor tidak cedera.