|
Mat Ail menunjukkan pokok pisang yang dimusnahkan gajah liar di dalam kawasan sekolah di SK Pasir Linggi, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Gua Musang: Kemunculan seekor gajah dewasa di dalam kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini, pada malam Jumaat lalu menimbulkan kebimbangan di kalangan guru dan murid.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam, gajah betina dianggarkan setinggi dua meter turut merosakkan pokok pisang yang ditanam di kawasan sekolah.
Guru Besar sekolah itu, Mat Ail Ibrahim, 53, berkata dia menyedari kemunculan gajah terbabit apabila terdengar bunyi bising berhampiran rumahnya.
Menurutnya, menyedari kehadiran 'orang besar' itu, dia memaklumkan kepada kakitangan sekolah dan meminta bantuan Tok Batin untuk menghalaunya.
"Situasi ketika itu sangat mencemaskan kerana bimbang gajah terbabit akan merosakkan kenderaan selain keselamatan guru-guru dan kakitangan.
"Dengan bantuan Tok Batin, gajah terbabit berjaya dihalau keluar dari sekolah ini kira-kira 12.30 tengah malam. Namun, pagar dan tanaman pisang dirosakkan gajah terbabit.
"Ini kejadian pertama yang berlaku apabila gajah masuk ke kawasan sekolah. Sebelum ini saya pernah dimaklumkan gajah terbabit ada berkeliaran di kawasan luar sekolah," katanya ketika ditemui, di sini.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM), Tuan Almadi Tuan Kasim, 50, berkata dia menyedari kejadian terbabit pada 6 pagi ketika ingin mengejutkan murid di asrama.
Katanya, kejadian itu walaupun pertama kali berlaku, namun membimbangkan guru dan kakitangan sekolah terbabit.
"Ketika dalam perjalan menunju ke asrama, saya lihat daun pisang berselerak di atas jalan.
"Gajah terbabit dipercayai masuk melalui pagar di tepi kelas pra sekolah dan merosakkan pagar. Saya harap ada tindakan segera daripada pihak berwajib kerana ia boleh membahayakan nyawa kami," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... besar-masuk-sekolah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|