|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/perak18224_1708226082.jpg)
Adilet Kanybekov (tengah) diperkenalkan kepada penyokong ketika majlis pelancaran jersi pasukan Perak FC di Dataran MBI, Ipoh malam tadi. – Foto BERNAMA
IPOH: Perak FC memantapkan jentera tengah pada saingan Liga Malaysia 2024-2025 dengan menyambar kapten skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov.
Selepas mengikat empat pemain baharu sebelum ini, Perak FC memperkenalkan tonggak import baharu berusia 21 tahun itu kepada penyokong pada karnival pelancaran jersi 2024-2025 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini malam tadi.
Kehadiran pemain Kyrgyzstan itu, yang pernah bersaing pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, menjadi pilihan ketua jurulatih Yusri Che Lah bagi memastikan sengat skuad itu lebih tajam.
Kanybekov turut berkeupayaan beraksi di posisi pertahanan tengah bagi mengisi kuota import Asia yang dilihat mampu memberi nilai tambah dalam pasukan apabila akan digandingkan dengan Luciano Guaycochea selaku 'jeneral' pasukan selain kebergantungan penuh terhadap Luciano sebelum ini.
Kanybekov menjadi pemain kelima yang diumumkan Perak FC selepas sebelum ini mengumumkan muka baharu iaitu Tommy Mawat Bada (Negeri Sembilan), Ariff Ar-Rasyid Ariffin (Kelantan United), Mohamad Ramadhan Hamid (PDRM FC) dan Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin pada sidang media berkata, pasukan itu juga akan mendapatkan khidmat penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Nadzli.
"Pengumuman berkenaan pemain ini akan dibuat dalam masa terdekat dan buat masa ini ada beberapa isu yang perlu diselesaikan. Bagi kami, dia seorang penjaga gol yang berkualiti namun kita harap dia dapat bersaing dengan penjaga gol lain dalam skuad sedia ada," katanya. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan ... fc-sambar-kanybekov |
|