|
MUHAMMAD Fakhrul dan Naura Adleena meninggal dunia dalam nahas dekat persimpangan Medan Klebang Restu, Klebang. FOTO Facebook Izzatul Akma Azhar
Ipoh: "Beberapa hari kebelakangan ini suami jadi gemar bersembang dan bercerita dengan saya termasuk hal di tempat kerjanya walaupun dia asalnya pendiam. Suami juga banyak menegur saya agar perbanyakkan solat dan ibadah lain."
Itu kata Izzatul Akma Azhar mengenai arwah suaminya, Muhammad Fakhrul Najmi Roslan, 26, yang maut bersama bayi perempuan mereka berusia 11 bulan, Naura Adleena Muhammad Fakhrul Najmi dalam nahas dekat persimpangan Medan Klebang Restu, Klebang, semalam.
Malah menerusi semakan di akaun Facebook (FB) milik Muhammad Fakhrul Najmi, didapati beliau ada berkongsi hantaran mengenai keperluan mengambil tahu hal berkaitan solat jenazah pada 29 November lalu, selain hantaran berkaitan keagamaan yang selainnya dengan perkara itu juga turut diperakui oleh Izzatul Akma.
Kata Izzatul Akma, dia reda dengan ketentuan itu dengan menyifatkan suaminya yang dikenalinya sejak di bangku sekolah menengah merupakan suami dan bapa yang penyayang.
Menceritakan saat kejadian, Izzatul Akma berkata dia baharu habis dari penugasan syif malam sebagai jururawat hospital swasta di sini dan menghubungi suaminya yang ketika itu dalam perjalanan untuk menghantar bayi mereka ke rumah mentuanya sebelum ke tempat kerja.
Katanya, pagi itu dia juga ada menghantar pesanan WhatsApp kepada suaminya yang jika sudah lambat masuk kerja maka dia boleh menunggu di kilang tempat suaminya bekerja sebelum mengambil anak mereka untuk dihantar ke rumah mentua.
"Pagi itu sepatutnya suami kena hantar anak (Naura Adleena) ke rumah mentua dan sebelum itu memang saya sudah menghubunginya untuk kejut dia dari tidur kerana tak sangka dia terlajak. Jadi dalam perjalanan menghantar anak ke rumah mentua saya cuba berulang kali hubungi suami lagi namun panggilan tidak diangkat.
"Hinggalah panggilan keempat saya dijawab oleh individu tidak dikenali menyatakan suami serta anak terbabit kemalangan dan dia minta saya bergegas ke lokasi itu tanpa memberitahu keadaan sebenar mereka ketika itu. Sewaktu itu saya sudah tidak fikir apa-apa melainkan hendak tengok sendiri keadaan mereka.
"Semasa sampai saya dapati suami dan anak sudah tidak sedarkan diri hingga membuatkan kaki saya pun 'longgar' di samping melihatkan pada keadan kereta dinaiki anak dan suami yang sudah remuk," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian 7.21 pagi semalam, Muhammad Fakhrul Najmi maut di tempat kejadian manakala Naura Adleena meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Mayat dua beranak itu disemadikan petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Chemor.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... adi-gemar-bercerita |
|