PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan ‘swinger’ yang beroperasi secara dalam talian di Kedah dan Johor baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC berkata, kegiatan kumpulan ‘swinger’ melibatkan aktiviti suami isteri bertukar-tukar pasangan dikesan susulan aduan daripada orang ramai dan pemantauan pihaknya.
Ujarnya, operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan MCMC dan PDRM di dua lokasi tersebut telah menemukan kumpulan ‘swinger’ yang memiliki sejumlah besar video lucah.
“Hasil serbuan, telefon bimbit, komputer, dan ‘thumbdrive’ milik suspek dirampas untuk siasatan lanjut.
“Tiga suspek berusia lingkungan 39 hingga 50 tahun didapati bertindak sebagai pentadbir (admin) bagi platform X kumpulan ‘swinger’ berkenaan, dan mereka turut didapati menjual bahan lucah bagi meraih keuntungan.
“Modus operandi suspek adalah memuat naik klip video pendek melalui platform X, dan individu yang berhasrat mendapatkan video berdurasi penuh, dikenakan bayaran sebanyak RM100 ke RM400 bagi mendapatkan pautan ke aplikasi Telegram,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta
588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC dalam pasa itu mengingatkan agar orang ramai tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian yang bertentangan dengan undang-undang di negara ini. – KOSMO! ONLINE