View: 8981|Reply: 0
|
[Pahang]
Sungai Tembeling jadi dataran berpasir
[Copy link]
|
|
Seorang penduduk bermain bola di atas dataran berpasir yang terbentuk di Sungai Tembeling, Jerantut ekoran cuaca panas sejak penghujung Februari lalu.
JERANTUT – Cuaca panas dan kemarau yang melanda negeri ini sejak penghujung Februari lalu menyebabkan sebahagian Sungai Tembeling di sini kering dan membentuk dataran berpasir yang luas.
Keadaan itu menyebabkan lokasi tersebut menjadi tumpuan penduduk untuk melakukan aktiviti riadah.
Malah ada penduduk yang bermain bola sepak di atas dataran berpasir tersebut pada setiap petang.
Seorang penduduk, Mohd. Zaimi Ali, 50, berkata, sekiranya cuaca panas terus berpanjangan, dia tidak menolak kemungkinan lebih 90 peratus Sungai Tembeling akan kering.
Katanya, keadaan itu sekali gus menyebabkan aktiviti sungai termasuk perjalanan bot penambang tergendala.
“Buat masa ini kami tidak perlu lagi pergi ke dewan, di (dataran berpasir) sini pun kita boleh bermain futsal. Sebahagian Sungai Tembeling ini kering dan terbentang luas seperti dataran berpasir.
Seorang penduduk bersila di atas pasir yang terbentuk di Sungai Tembeling ekoran cuaca panas sejak Februari lalu.
“Keadaan cuaca panas dan peralihan monsun menyebabkan cuma ada sebahagian aliran (alur) air yang masih dalam dan boleh dilalui bot penambang.
“Tetapi penduduk masih tidak boleh menyeberang sungai untuk pergi ke kampung di seberang,” katanya ketika ditemui di Kampung Bantal semalam.
Menurut Mohd. Zaimi, dia dan penduduk kampung berharap hujan dalam masa terdekat bagi membolehkan aktiviti seperti tangkapan ikan liar dan ternakan ikan sangkar kembali pulih.
Orang ramai termasuk kanak-kanak berjalan di dataran berpasir pada waktu petang.
Sementara itu, penduduk Kampung Seberang Bantal, Jamizan Rashid, 45, berkata, dia kerap berjalan kaki pada sebelah petang dan menaiki bot gentian kaca di kawasan yang masih ada air.
“Fenomena musim kemarau dan kering serta kemunculan dataran berpasir ini merupakan perkara biasa bagi penduduk di Ulu Tembeling, tetapi tahun ini berbeza berbanding sebelum ini kerana kawasan berpasir lebih luas dan memanjang.
“Jika keadaan ini berlaku pada hari biasa (bukan bulan puasa) sudah tentu lebih ramai kanak-kanak dan remaja turun bermain bola sepak dan berlumba lari di atas pasir pada sebelah petang,” katanya.
Ujarnya, ketika matahari terik tiada penduduk yang datang ke dataran tersebut kerana pasir yang timbul begitu panas.
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... i-dataran-berpasir/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|