SETIU: Sekumpulan belia daerah ini mengambil inisiatif mengagihkan potongan tembikai kepada pemandu kereta yang terperangkap dalam kesesakan jalan di antara Kampung Beris Tok Ku ke Pantai Penarik pada hari kedua sambutan Aidilfitri, Sabtu lalu.
Muhammad Aiman Mohd Yazid, 32, berkata idea untuk mengedarkan potongan tembikai secara percuma itu dicetuskan rakannya dikenali sebagai Akim, 25, yang juga mengusahakan 10 ekar tanaman tembikai di kawasan berhampiran.
Katanya, mereka seramai enam orang mula mengagihkan tembikai mulai jam 2 petang sehingga 7 malam sebelum berhenti menjelang Maghrib kerana hari semakin gelap.
"Kira-kira 2,000 kilogram tembikai berjaya diagihkan dengan setiap kereta yang melalui laluan ini. Masing-masing menerima tembikai yang disiap dipotong untuk memudahkan mereka makan dalam kereta.
"Tahun lalu kami juga mengagihkan air minuman secara percuma. Kebetulan tahun ini musim tembikai jadinya kami sepakat berkongsi rezeki serta tenaga untuk menggembirakan perantau yang terkandas dalam kesesakan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Aiman yang juga pemilik Restoran Pak Kancil Patin Tempoyak di sini, berkata jika diikutkan jarak di antara Kampung Beris Tok Ku ke Pantai Penarik hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja.
"Namun, disebabkan kesesakan jalan raya pada hari berkenaan, ia mengambil masa hingga tiga jam kerana kebanyakan pemandu yang turut menggunakan laluan jalan kampung juga keluar menghala ke laluan utama ini.
"Kami seronok serta puas hati apabila melihat reaksi muka penerima yang berterima kasih menerima sumbangan buah segar ini.
"Ada juga yang turut bagi duit raya apabila melihat isteri kawan saya memangku anak ketika kami sibuk agih tembikai," katanya.
Aiman berkata, selain kawannya menjual tembikai secara terus kepada pemborong, dia jual turut menjual secara runcit di gerainya di hadapan Masjid Beris Tok Ku.
Setakat jam 3.45 petang ini, terdapat 1.9 juta tontonan netizen di laman tik tok Aiman92 yang melihat agihan percuma tembikai berkenaan.
Kebanyakan netizen menyambut baik usaha orang Terengganu yang meraikan golongan perantau yang pulang berhari raya.