View: 3363|Reply: 0
|
[Kelantan]
Lelaki Rohingya kaut untung RM140,000 palsukan slip permohonan kad UNHCR
[Copy link]
|
|
Seorang lelaki Rohingya dicekup selepas didapati terlibat dengan sindiket pemalsuan slip permohonan kad UNHCR di sebuah rumah di Kampung Changgal, Pasir Puteh kelmarin. - Foto IHSAN JIM KELANTAN
KOTA BHARU – Seorang lelaki etnik Rohingya dicekup selepas terlibat dengan sindiket pemalsuan slip permohonan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di sebuah rumah di Kampung Changgal, Pasir Puteh dekat sini kelmarin.
Lelaki warganegara Myanmar berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam bersama wang tunai sebanyak RM140,000 semasa Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan menjalankan Ops Sapu/Kutip.
Timbalan Pengarah JIM Kelantan, Ruzaana Mohamed berkata, bertindak atas hasil risikan, Bahagian Penguat Kuasa JIM Kelantan mengadakan operasi pemeriksaan warga asing.
Menurutnya, siasatan mendapati, suspek berada di dalam rumah itu bersama seorang lagi rakan senegaranya yang dipercayai tidak terlibat dengan sindiket mengeluarkan slip permohonan kad UNHCR palsu.
“Anggota penguat kuasa JIM kemudiannya menjumpai dua unit komputer riba, peti besi dan sejumlah wang milik suspek.
“Hasil pemeriksaan isi kandungan komputer riba itu mendapati, ada dokumen slip permohonan kad UNHCR yang dipercayai akan digunakan untuk mendapatkan kad tersebut secara tidak sah dan teratur,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JIM Kelantan, di sini hari ini.
Ruzaana memberitahu, pemeriksaan di dalam rumah tersebut turut menemui wang tunai sebanyak RM140,000 yang dipercayai hasil daripada kegiatan suspek memalsukan slip permohonan kad UNHCR.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, suspek mengenakan bayaran sebanyak RM2,000 untuk satu slip permohonan kad UNHCR kepada warga asing.
“Suspek didapati menetap di negara ini menggunakan kad UNHCR, manakala rakannya yang tidak terlibat dengan kegiatan itu tiada sebarang pas atau permit yang sah.
“Suspek didapati melakukan Seksyen 55 D Akta Imigresen 1959/63 iaitu pemalsuan dan pindaan bagi endorsan atau dokumen dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis,” ujarnya.
Tambahnya, rakan suspek pula disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Ruzaana berkata, pihaknya menahan empat warga Myanmar termasuk tiga wanita kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.
Menurutnya, kesemua warga asing itu berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 30 tahun dan mereka dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... rmohonan-kad-unhcr/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|