View: 6957|Reply: 0
|
TFC sasar ke separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean
[Copy link]
|
|
Pemain Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang aksi pertama menentang Perak FC, Sabtu ini. Foto: TFC
KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) sasar sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir Kejuaraan Kelab Asia Tenggara yang bakal bermula Julai depan.
Laungan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas yang berkeyakinan skuad Penyu mampu menjadi pencabar terkuat dalam kejohanan yang turut dipanggil Piala Shopee itu.
"Berdasarkan prestasi semasa dan pengalaman pemain yang pernah beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim lalu, kita sasarkan sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir edisi sulung itu.
"Jika mara ke pentas final, ianya bonus buat pasukan, namun kami sedar ianya laluan berliku lebih-lebih lagi bakal berdepan dengan kelab terbaik rantau Asean.
"Jadi kita harapkan undian pada 12 Mei ini di Ho Chi Minh, Vietnam, ianya bakal memihak kepada kami," ujar Mohd Sabri.
Pihak pengurusan skuad Penyu bakal 'terbang' ke Vietnam pada Rabu bagi proses undian Kejuaraan Kelab Asia Tenggara yang membabitkan 12 kelab terbaik Asia Tenggara.
"Dengan latihan rapi bermula pertengahan Februari lalu bawah kendalian ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner, pemain kini sudah bersedia.
"Pada masa sama kita harapkan barisan kejurulatihan mampu merencana skuad terbaik kerana TFC mewakili negara," katanya.
Terdahulu TFC sah menjadi wakil negara bersama Kuala Lumpur City FC (KL City FC) selepas dimaklumkan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) menerusi sepucuk surat yang diterima sebelum ini.
Pemilihan TFC yang muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu boleh disifatkan sebagai pengiktirafan selain boleh memberi peluang kepada pemain tempatan beraksi di pentas tertinggi selepas Piala AFC musim lalu.
https://www.bharian.com.my/sukan ... juaraan-kelab-asean |
|
|
|
|
|
|
| |
|