|
ANAK sulung arwah, Nur Ielfa Syahirah Md. Rizal menyiram air mawar ke atas pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam hari ini. Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS/KOSMO!
SHAH ALAM – “Pada pagi hari kejadian, ayah telah berpesan kepada saya untuk menjaga ibu sekiranya dia sudah tiada lagi.”
Itu antara pesanan Allahyarham Md. Rizal Atan, 47, yang maut akibat dihempap sebatang pokok di Kuala Lumpur semalam kepada anak keduanya.
Muhammad Irfan Farish Md. Rizal, 16, berkata, dia tidak sangka kata-kata itu menjadi pesanan terakhir ayahnya itu supaya menjadi ibunya, Norpahidah Mat Zaman, 43.
Katanya, arwah amat rapat dengan semua anak terutama sekali adik ketiganya dan bongsu.
“Kalau dia balik lewat sekalipun, dia akan sentiasa cari masa bercakap dengan saya dan adik-beradik lain. Selepas ini kami akan rindu dengan keletah lawak ayah kerana dia memang seorang periang dan suka buat lawak,” katanya.
Muhammad Irfan ditemui ditemui pada upacara pengebumian jenazah ayahnya, Md. Rizal di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, hari ini.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 2.30 petang dengan kehadiran ramai ahli keluarga, kawan serta majikan Allahyarham.
Muhammad Irfan berkata, dia dan keluarganya dimaklumkan oleh pihak berkuasa berhubung kemalangan yang menimpa ayahnya kira-kira pukul 6 petang semalam, empat jam selepas kejadian itu berlaku.
“Apabila dengar berita itu, hati terus luluh, namun kami sekeluarga kuatkan semangat menerima berita sedih.
“Kami sekeluarga terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas pihak berkuasa memaklumkan jenazah arwah dibawa ke sana bagi menjalani proses bedah siasat,” ujarnya.
Muhammad Irfan berkata, dia akan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat pekerjaan untuk menyara keluarganya.
Md. Rizal terkorban selepas sebatang pokok besar menghempap kereta yang dipandunya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Difahamkan semasa kejadian, mangsa yang juga pemandu peribadi sedang dalam perjalanan menjemput seorang tetamu di sekitar ibu negara menggunakan kereta syarikat. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... ibu-jika-dia-tiada/ |
|