|
Abdul Rahim (kanan) bersama isterinya Noraini selesai membuang di SJKC Khin Ming sempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu, hari ini.
HULU SELANGOR – Sepasang suami isteri sanggup menempuh 200 kilometer perjalanan dengan memandu kereta sendiri dari Kuala Kangsar, Perak bagi menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, hari ini.
Biarpun Abdul Rahim Bidin, 67, mempunyai penyakit strok manakala isterinya Noraini Mansor, 65, diuji dengan kanser, namun ia tidak menghalang mereka mengikuti proses pengundian yang bermula pukul 8 pagi tadi.
Abdul Rahim dan isterinya selesai membuang undi pukul 8.30 pagi tadi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khin Ming.
“Dulu kami duduk Batang Kali dan berpindah ke Kuala Kangsar 10 tahun lalu selepas saya bersara daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Walaupun jauh, tapi ini tanggungjawab sebagai kami sebagai pengundi. Kami bergerak kira-kira pukul 4 pagi tadi dan selepas ini terus pulang ke Kuala Kangsar,” katanya.
Justeru, Abdul Rahim berharap, wakil rakyat yang dipilih rakyat dapat membawa lebih banyak pembangunan di Kuala Kubu Baharu.
Sementara itu, seorang penjawat kerajaan, Nor Adi Rusli, 40, tidak menyangka di akan menjadi pengundi pertama di sini.
Katanya, dia bergerak dari rumah di Batang Kali ke pusat mengundi di sini sekitar pukul 6.50 pagi.
“Patutnya saya boleh tukar undi di Batang Kali tapi malaslah sebab saya selesa mengundi di sini.
“Saya hanya ingin tunai tanggungjawab. Saya undi orang yang saya rasa layak dan mahu dia buat tugas yang lebih baik daripada sebelum ini,” jelasnya.
Sorang pesara tentera, R. Ganesan, 57, berharap semua pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini.
“Semu kena mengundi hari ini. Tak undi kita rugi sebab itu kewajipan kita.
“Harapan saya kemudahan di Kuala Kubu Baharu dapat ditambah baik terutamanya hospital di sini,” jelasnya.
Sebanyak 18 pusat mengundi dengan 74 saluran dibuka pukul 8 pagi hari ini membabitkan 39,269 pemilih berdaftar pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, calon Pakatan Harapan (PN), calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong 21 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... nan-untuk-mengundi/ |
|