|
Penternak, Mohd Hasrul Helmi Ariffin, 36, (kanan) bersama rakannya Abdul Basir Mamat, 32, memantau keadaan lembu peliharaan mereka di Kampung Pengkalan Merbau, di Setiu, baru-baru ini. NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
SETIU: Pelbagai usaha dilakukan penternak lembu bagi meningkatkan permintaan lembu tempatan untuk ibadah korban, namun jumlahnya semakin berkurangan dari tahun ke tahun.
Seorang penternak, Mohd Hasrul Helmi Ariffin, 36, berkata keadaan semakin membimbangkan apabila pertambahan kemasukan lembu dari negara jiran boleh menjejaskan pasaran lembu tempatan.
Katanya, kadar permintaan terhadap lembu tempatan pada tahun ini turun mendadak sehingga 70 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Saya sendiri hanya mampu menjual kira-kira 10 ekor berbanding kebiasaannya mencecah sehingga 40 ekor menjelang Aidiladha.
"Sebelum ini tempahan terpaksa ditutup sekurang-kurangnya sebulan sebelum hari raya tetapi tahun ini walaupun tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Aidiladha, permintaan terhadap lembu korban masih kurang," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Merbau, di sini, baru-baru ini.
Katanya, walaupun mereka turut menggunakan saluran media sosial bagi memasarkan lembu tempatan untuk tujuan ibadah korban, ia tetap kurang berhasil.
Seorang lagi penternak, Abdul Basir Mamat, 32, berkata orang ramai lebih memilih untuk membeli lembu dengan harga bajet bawah RM4,000 bagi seekor lembu.
Katanya, kebiasaannya lembu dari negara jiran lebih murah berbanding lembu tempatan berharga dalam lingkungan RM5,000 seekor hingga mencecah RM8,000 seekor.
Katanya, walaupun harga ditawarkan jauh lebih rendah, mereka bimbang kemasukan lembu seludup tanpa kawalan ke negara ini akan menularkan penyakit kepada lembu tempatan.
"Namun tidak dapat dinafikan dengan keadaan ekonomi semasa tidak menentu ini turut menjadi faktor pendorong orang ramai lebih memilih harga lebih rendah.
"Sebagai penternak lembu kami terpaksa menanggung kos makanan jika tidak berjaya menjual lembu mengikut tempoh umur yang sesuai untuk dijadikan korban," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... -lembu-korban-buntu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|