|
BAIC yang membuat pengenalan rasminya di Malaysia turut memperkenalkan model SUV X55. Ia merupakan SUV dalam segmen C yang akan bersaing antaranya dengan Proton X70 dan Honda CR-V. Untuk pasaran di sini, X55 akan ditawarkan dalam dua varian — Standard dan Premium (dengan harga anggaran dari RM12xk-RM14xk). Yang ditampilkan ini ialah model pra-produksi — versi CKD-nya akan mula beredar pada suku keempat tahun ini, yang akan dipasang di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka.
Mengikut ukuran dimensinya, X55 berada dalam segmen C — 4,620 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,680 mm tinggi. Model ini hampir 100 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah berbanding X70, manakala jarak rodanya pula 2,735 mm ialah 65 mm lebih panjang. Untuk itu, telahan awal kami bahawa SUV ini adalah dalam segmen B meleset.
Ia juga bahkan hanya sedikit lebih kecil berbanding CR-V, yang mempunyai ukuran 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar dan 1,691 mm tinggi. Suspensi belakang X55 ini juga menggunakan jenis multi-link, yang kerap menjadi pilihan bagi SUV segmen C.
Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder suntikan terus yang menghasilkan 188 PS pada 5,500 rpm dan 305 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi klac berkembar basah tujuh-kelajuan, yang membolehkan model ini memecut 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa 7.2 liter bagi 100 km (kitaran WLTP).
Rekaan luarannya tajam, dengan DRL LED bentuk L yang nipis, kedudukan lampu utama LED yang lebih rendah, rekaan tingkap yang tajam serta kemasan krom di kelilingnya. Wajah depan yang tertutup memperlihatkannya sebagai sebuah EV, ditambah pula dengan rekaan bampar dengan corak hexagon ala Lexus RX. Pemegang pintunya juga tersorok.
Di belakang, spoiler terpisah yang ada memberikan imej sporty. Ini ditambah dengan empat muncung ekzos yang tiada pada model pra-produksi tetapi akan ada untuk model jualan nanti. Skim dua tona warna badan juga diberikan sebagai pilihan, dengan bumbung dan cermin sisi hitam. Lencana “Beijing” yang masih dilihat ini pula akan digantikan dengan “BAIC” kelak.
Di dalam pula menerapkan rekaan ringkas — papan pemuka tirus dengan corong pendingin di sudut berbentuk L. Konsol tengah juga terapung dengan pemilih gear rata, banyak ruang simpanan serta pengecas tanpa wayar Qi. Model Standard datang dengan kemasan balutan kulit buatan, manakala Premium dengan kulit sebenar dengan fungsi memori untuk kerusinya, berliang dengan ciri pemanas.
SUV ini juga dilengkapi dengan paparan 10-inci berkembar untuk kluster instrumen dan infotainmen, serta kawalan pendingin dua-zon. Malangnya, tiada kelibat Apple CarPlay atau Android Auto. Yang ada ialah fungsi Bluetooth dengan enam-pembesar suara.
Kelengkapan standard yang lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Push Start, bumbung panoramik, cermin pandang belakang anti-silau, corong pendingin belakang, kamera undur, pintu ruang barangan belakang kuasa elektirk dan enam beg udara. Premium pula menerima tambahan lampu ambient 10-warna.
Sistem bantuan pemandu pula belum jelas penawarannya. Unit pra-produksi ini tidak dilengkapi sistem tersebut, tetapi BAIC memaklumkan versi jualan nanti akan ada ciri seperti amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong dan amaran titik buta. Tiada ciri pengekalan lorong atau ke tengah lorong, begitu juga ciri AEB yang belum disahkan.
https://paultan.org/2024/05/16/b ... t-jana-188-ps-7dct/ |
|