View: 6505|Reply: 0
|
[Selangor]
Individu ke IPD, balai polis akan diperiksa terperinci
[Copy link]
|
|
HUSSEIN pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Shah Alam: Polis Selangor memberi jaminan meningkatkan kawalan keselamatan di setiap balai polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan meningkatkan lagi tahap keselamatan di setiap pejabat polis bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
"Ketua Polis Negara juga memaklumkan untuk meningkatkan keselamatan di setiap IPD dan balai polis yang mana sesiapa yang datang ke sini akan diperiksa secara terperinci.
"Mereka yang pergi ke balai mesti mempunyai urusan, kalau tidak ada urusan tidak boleh masuk kerana isu ini berkaitan dengan keselamatan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Hussein berkata, ia membabitkan keselamatan anggota yang bertugas dan orang awam yang datang untuk berurusan dengan pihak polis.
"Mereka yang dicurigai akan dilakukan pemeriksaan badan serta pemeriksaan beg yang dibawa," katanya.
Menurutnya, pihak polis juga sedang berusaha dalam proses perolehan untuk memasang kamera litar tertutup di lokasi yang strategik dalam IPD.
Sementara itu, beliau berkata anggota yang bertugas pada waktu malam juga akan ditambah demi meningkatkan keselamatan.
"Kami juga akan melihat kekuatan anggota dan memastikan mereka dapat memberikan tindak balas yang lebih pantas jika berlaku perkara yang menggugat keselamatan," katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan terdapat serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, dan mengorbankan dua orang anggota polis yang masing-masing berusia antara 22 dan 24 tahun.
Seramai tujuh orang individu sedang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan serangan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tujuh suspek terbabit termasuk lima ahli keluarga berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan Jumaat lalu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... iperiksa-terperinci |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|