CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9752|Reply: 0

[Terengganu] Pekebun gusar tanaman dimusnahkan gajah liar, tanggung kerugian berulang

[Copy link]
Post time 26-5-2024 11:27 AM | Show all posts |Read mode

Pekebun menunjukkan tanaman dirosakkan gajah liar yang mencerobohi kebun mereka di Kampung Teris. - NSTP/NAZDY HARUN

KUALA BERANG: Pekebun di enam kampung sekitar daerah ini gusar berikutan kebun kelapa sawit dan nanas yang diusahakan mereka sering menjadi sasaran gajah liar sejak tiga tahun lalu.

Antaranya, Zamani Yusof, 56, dari Kampung Teris, di sini, berkata konflik antara manusia dengan gajah di kawasan itu masih tidak berkesudahan, malah haiwan berkenaan semakin kerap ditemui dalam kebun milik penduduk.

Beliau mendakwa serangan gajah kian buruk sejak awal tahun ini apabila sudah empat kali kebun penduduk dicerobohi gajah liar sehingga memusnahkan tanaman pokok kelapa sawit dan nanas.

Katanya, masalah itu merunsingkan pekebun kerana terpaksa mengeluarkan modal besar bagi menampung kerugian akibat kejadian berulang.


"Saya membelanjakan lebih RM54,000 untuk kerja seperti mengupah pekerja membersihkan kebun, menyewa jentera berat, membeli benih dan menanam semula tetapi tiga atau empat bulan selepas itu, pokok-pokok kembali dirosakkan.

"Kalau diikutkan hati, saya sudah hampir berputus asa apabila melihat kemusnahan kebun disebabkan serangan gajah-gajah liar selepas melabur puluhan ribu ringgit," katanya.

Beliau berkata, pelbagai langkah sudah diambil seperti membakar tayar dan memasang pagar, namun haiwan berkenaan tetap datang untuk mencari makanan.

Sementara itu rakannya, Mohd Shukri Majid, 45, berkata serangan terbaru yang berlaku tiga hari lalu memusnahkan tanaman kelapa sawit, sekali gus menyebabkan pekebun tidak dapat menuai hasilnya.

"Saya berharap pihak berkaitan dapat mengambil langkah drastik untuk menangani konflik ini yang dihadapi pekebun di Kampung Teris, Chapu, Gerdong, Padang Setar, Ulu Sat serta Kuala Jeneris.

"Bulan ini saja, kami sudah beberapa kali membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berhubung insiden gajah liar mencerobohi kebun.

"Kakitangan PERHILITAN ada datang ke kebun untuk membuat siasatan. Kami berharap gajah-gajah liar itu dapat dipindahkan dengan segera," katanya.

Beliau berkata, PERHILITAN mencadangkan pemasangan pagar elektrik bagi menghalang pencerobohan gajah liar itu, namun pekebun tidak mampu kerana ia membabitkan kos tinggi.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, berkata pihaknya memang melakukan kawalan dari semasa ke semasa di kawasan yang dilaporkan.

"Kita juga dalam perancangan untuk membina pagar elektrik kekal yang berkemungkinan akan dilaksanakan pada tahun ini atau tahun depan.

"Untuk rekod sepanjang tempoh 2022 hingga 2023, lima gajah sudah dipindahkan dari kawasan terbabit ke lokasi lebih jauh," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kedudukan kampung serta kebun yang berhampiran dengan hutan menjadi faktor tarikan haiwan liar keluar mencari makanan di kawasan berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berit ... r-tanggung-kerugian
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 03:42 PM GMT+8 , Processed in 0.123728 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list