|
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee
Kota Kinabalu: Kutipan tiga mata pertama di laman sendiri selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi menyuntik semangat pemain Sabah FC untuk kekal konsisten selepas ini.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata kemenangan itu penting sebelum Liga Super berehat seketika sempena perlawanan pusingan kedua Kelayakan Asia Piala Dunia Fifa pada awal bulan depan.
Katanya, selepas itu, beliau berharap Sang Badak akan tampil dengan lebih baik dan konsisten, terutama untuk berdepan Pusingan 16 Piala FA pada pertengahan bulan depan, sebelum kembali ke aksi Liga Super.
"Penting untuk kita mendapatkan tiga mata penuh dan ini sudah tentu menyuntik semangat pemain sebelum kita berehat dengan kalendar Fifa.
"Selepas ini kita akan kembali dengan Piala FA dan saya harap kita akan bertambah baik dari sekarang dan lebih konsisten lagi selepas ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Pada aksi malam tadi, Sabah bangkit menewaskan Kuching City selepas ketinggalan 1-0 hasil jaringan awal penyerang lawan, Pedro Henrique pada minit ke-63.
Sabah bagaimanapun dapat menyamakan kedudukan 1-1 hasil sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-75, disusuli gol kemenangan 2-1 hasil jaringan Muhamad Jafri Chew pada minit ke-84.
Hasil tiga mata malam tadi, Sabah kini menempatkan diri di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul tujuh mata di belakang Terengganu FC di tangga kedua dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tangga teratas liga.
Sementara itu, Kim Swee berkata pasukannya akan ke Jakarta, Indonesia untuk menyertai Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sports, Indonesia yang dijadualkan pada 30 Mei hingga 2 Jun ini.
"Kita akan ke Indonesia untuk Piala RCTI selepas ini dan kita akan dapat dua perlawanan yang lebih penting di mana saya ingin mencuba beberapa pemain lagi untuk memastikan mereka dapat minit yang mencukupi," katanya.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) itu turut disertai Selangor FC, selain dua pasukan dari Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Juara kejohanan itu bakal menerima hadiah wang tunai USD30,000 (RM142,000) selain piala dan medal, manakala Naib Juara akan menerima USD15,000 (RM71,000).
Pemenang tempat ketiga dan keempat pula masing-masing akan menerima hadiah wang tunai berjumlah USD10,000 (RM47,000) dan USD5,000 (RM23,000).
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... tewaskan-kuching-fc |
|