CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 24343|Reply: 0

smart #3 2024 diperkenalkan di Malaysia

[Copy link]
Post time 26-5-2024 05:52 PM | Show all posts |Read mode

Bersempena dengan penganjuran Malaysia Autoshow 2024 di MAEPS Serdang yang bakal berlangsung mulai esok, smart Malaysia turut mengambil kesempatan membuka tempahan bagi SUV coupe smart #3 bermula hari ini, serentak dengan pengenalan rasminya di sini. Bahkan dikhabarkan bahawa Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang menerima tempahan bagi #3 ini.

“Saya sangat berbesar hati menyambut kedatangan smart #3 ke dalam portfolio kami yang mempunyai tiga varian yang menarik. Pengumuman mengenai tawaran smart #3 ini memberi ganjaran kepada para pelanggan untuk mengambil peluang menjadi antara pemilik terawal smart #3.

“Sebagai persediaan unutk penghantaran bagi suku ketiga tahun ini, 13 pengedar rasmi smart telah bersedia sepenuhnya dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan. Dengan ini, smart menjemput orang ramai untuk bersama-sama mengalami perjalanan menuju mobiliti lestari,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.



Bagi pasaran Malaysia, smart #3 ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas Pro, Premium dan versi paling padu Brabus. Di mana varian Pro dan Premium merupakan versi pacuan roda-belakang (RWD) dengan motor elektrik tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm.

Untuk varian Pro dan Premium, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai cecah 180 km/j. Manakala bagi Brabus pula, pastinya ia lebih padu dengan mod Rocket Launch, hanya 3.7 saat bagi pecutan 0-100 km/j!

(Baru-baru ini, kami telah diberikan kesempatan oleh smart Malaysia untuk memandu uji seketika varian Pro dan Brabus di litar ujian Pusat Kecemerlangan Proton Shah Alam. Anda boleh baca tanggapan awal pandu uji berkenaan DI SINI)

  

Varian Pro diberikan bateri Lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 49 kWh dan ia boleh memberikan jarak gerak hingga 325 km dengan pengecasan tunggal. Manakala varian Premium dan Brabus dibekalkan dengan bateri yang sama dengan kapasiti lebih besar 66 kWh, di mana Premium mampu mencapai jarak gerak hingga 455 km tetapi Brabus hanya sekitar 415 km, kedua-duanya dengan pengecasan tunggal.

Bagi pengecasannya, #3 boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW dengan status pengecasan 10% hingga 80% boleh dicapai dalam kurang dari tiga jam. Namun jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 150 kW, ia boleh mencapai status pengecasan pada tahap yang sama di bawah 30 minit.

Secara fizikalnya, #3 mempunyai dimensi berukuran 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi dan jarak rodanya 2,785 mm, di mana #1 lebih pendek tetapi lebih tinggi dan lebih lebar, iaitu pada 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar dan 1,636 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Model #3 juga berkongsi binaan Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dengan #1.




Seperti mana yang pernah dikhabarkan sebelum ini, #3 merupakan model kedua dari jenama smart Automobile hasil kerjasama antara Geely dan Mercedes-Benz, dengan model pertamanya ialah #1. Seperti juga #1, SUV dengan gaya ala coupe ini menerima sentuhan rekaan daripada Mercedes-Benz. Selain dimantapkan dengan dinamik pemanduan yang dipertingkatkan, pastinya rekaan luaran dan dalaman menjadi taruhan bagi #3 ini.

#3 diberikan rekaan avant-garde dan fastback yang dinamik dengan gaya ala coupe, termasuk membawakan beberapa elemen rekaan yang pastinya menarik perhatian. Ini termasuklah dengan bumbung berbentuk busur dengan elemen flying wing. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan spoiler belakang yang sporty, ditambahkan garisan sudut atas bahagian yang ala berotot dan juga gaya hadapan ala hidung jerung sekaligus menampakkan wajahnya lebih agresif dan maskulin.

SUV ala coupe ini ditampilkan dengan gril hadapan bercahaya bersama unit lampu utama CyberSparksLED+ dengan bantuan lampu adaptif, serta liang udara bawah hadapan berbentuk trapezoid. Bentuk lampunya senada dengan bahagian belakang yang menerima unit dynamic LED. Bagi varian Pro dan Premium, ia diberikan roda aloi dengan saiz 19-inci.


Menariknya, #3 ditampilkan dengan suis tailgate tersembunyi yang terletak pada abjad “a” pada perkataan smart. Cuma tekan saja “a”, maka tailgate akan terbuka secara automatik. Memantapkan lagi penggayaannya, #3 turut diberikan logo iluminasi, Welcome Light, pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik Halo,

Untuk varian Brabus, pastinya diberikan ciri luaran tambahan yang bersesuaian dengan imejnya yang lebih ranggi. Ini termasuklah gril hadapan iluminasi roda merah, spoiler belakang yang lebih sporty, bumbung warna kontras merah eksklusif, logo luaran Brabus, roda Starlink lima-jejaro 20-inci bersama kaliper sport berwarna merah, Brabus Welcome Light, hud hadapan yang lebih sporty dan logo hitam berkilat.

Memantapkan lagi tahap aerodinamiknya hingga mampu mencapai pekali seretan hingga 0.27, smart ditampilkan dengan ciri aerodinamik pada bahagian rim aloi, wind deflector roda hadapan dan belakang, gril pengambilan udara aktif, wind blade air curtain dan juga cermin pandang belakang.



Untuk bahagian dalamnya, rekaannya lebih kurang dengan #1 yang juga ditampilkan dengan kokpit pintar walau pun rekaannya bersifat minimalis tanpa elemen futuristik yang sarat. Antara ciri yang ditampilkan untuk #3 termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, corong pendingin hawa ala-turbin dengan corong di kedua belah sisi berbentuk bujur dan bulat untuk di tengah (tidak seperti #1 yang hadir dengan corong berbentuk bujur untuk sisi dan tengah), tempat duduk sport yang disambungkan dengan perehat kepala, paparan instrumen definisi-tinggi LCD 9.2-inci, skrin konsol tengah 12.8-inci dan unit utama (head unit) warna penuh 10-inci.

Selain itu, ia juga diberikan sistem bunyi Beat dengan 13-pembesar suara, pencahayaan ambien dwi zon 64-warna, pengecas tanpa wayar dengan empat unit USB port dan konsol tengah dilengkapi chiller. Tambahan untuk Brabus, ia diberikan bunyi enjin palsu yang didakwa diinspirasikan dari bunyi enjin V6.

Pastinya elemen dalaman varian Brabus lebih sporty dengan kehadiran gaya dalaman eksklusif hitam Brabus, roda stereng gaya sport balutan Alcantara dengan jahitan kontras merah dan logo iluminasi Brabus, jaluran jahitan merah pada panel pintu, tali pinggang keledar sporty rona merah, tempat duduk dengan elemen ‘rivet’ dibaluti microfibre suede dan perehat kepala eksklusif Brabus, dan pedsal aluminium sport.


Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, #3 dihadirkan dengan 23 penderian berketepatan tinggi dengan satu unit kamera pandangan hadapan, tiga unit kamera kokpit, empat unit kamera pandangan sekeliling, lima unit millimiter wave radar dan 12 unit ultrasonic radar.

Ciri penderiaan berkenaan adalah bagi menyokong 21 fungsi ADAS bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, antaranya kelajuan kawalan adaptif (ACC), amaran ketibaan lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan kesesakan trafik (TJA), parkir autonomous, mitigasi pelanggaran hadapan (FCM) dan banyak lagi.

Buat masa ini, smart Malaysia masih belum mendedahkan bilakah #3 ini bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, malah harga rasminya juga tidak didedahkan. Butiran dan perincian penuh kena tunggu pelancarannya yang dijangka berlangsung pada suku ketiga (Q3) tahun ini.

Namun sempena dengan tempahan #3 mula dibuka, syarikat ini mengumumkan bahawa pelanggan yang membuat tempahan awal berpeluang menerima barangan rasmi smart eksklusif bernilai sehingga RM1,500. Tawaran terhad ini dikhaskan kepada 333 pelanggan pertama, dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula. Tempahan #3 ini boleh dilakukan di rangkaian pengedar rasmi smart yang terdekat atau melalui aplikasi Hello smart.

https://paultan.org/2024/05/21/s ... pahan-sudah-dibuka/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-11-2024 08:34 PM GMT+8 , Processed in 0.585424 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list