View: 1553|Reply: 0
|
[Selangor]
Rosiah dan 2 cucu duduk bawah kanopi sejak rumah diroboh
[Copy link]
|
|
Rosiah Ismail
Gombak: "Kenapa zalim sangat, kalau mahu robohkan pun berilah kami tempat lain untuk tinggal," keluh penduduk setinggan Kampung Sri Makmur, Rosiah Ismail, selepas kediamannya sejak 10 tahun lalu dirobohkan, baru-baru ini.
Rosiah, 64, antara penduduk yang kini hidup merempat dan terpaksa menjadikan kanopi sebagai tempatnya dan keluarga berteduh daripada terik matahari sejak tiga hari lalu.
Ibu tunggal itu berkata, dia menyewa di kawasan berkenaan kira-kira 20 tahun lalu sebelum membeli sebuah rumah di kampung sama demi keselesaan anak-anak dan cucu.
"Anak-anak ada ajak tinggal dengan mereka tetapi saya menolak kerana mahu menjaga barang-barang saya di sini, banyak yang dicuri pendatang asing tanpa izin kalau tiada orang jaga.
"Basikal, khemah untuk berniaga dan peti sejuk buruk (masih berfungsi) itu kalau hilang saya tidak mampu beli baru. Lagipun saya tidak mahu susahkan anak dan menantu," kata penjual cempedak dan pisang goreng itu.
Wartawan Harian Metro yang membuat tinjauan mendapati, Rosiah berteduh di bawah kanopi berkenaan bersama seorang anak lelaki dan dua cucunya.
Lebih menyedihkan, seorang daripada cucunya berbaring berhampiran sebuah kereta yang di parkir di tempat redup yang terletak berhampiran khemah itu akibat kepanasan.
Rosiah memberitahu, pendapatannya menjaja di kaki lima terjejas teruk susulan kenaikan harga barangan menyebabkan dia sekeluarga tidak mampu mencari rumah sewa dalam masa terdekat.
"Ada seorang (bergelar) Datuk tawarkan mahu bantu bayarkan deposit rumah sewa tetapi saya tidak mahu susahkan orang lain, lagipun dengan pendapatan saya sekarang tidak sampai RM1,000 (sebulan), bagaimana mahu bayar sewa bulanan?
"Anak-anak semua pun kerja berniaga kecil-kecilan sahaja, jadi buat masa sekarang, saya sedang cari tempat untuk simpan barang-barang saya dan mungkin menumpang rumah anak selepas ini.
"Pejabat YB (yang berhormat) ada minta saya tidur di pejabat mereka tetapi macam saya cakap, kalau saya pergi habis hilang barang-barang saya dicuri," katanya.
Ibu kepada lima anak itu merayu sekiranya ada penempatan rumah kos rendah yang boleh didiami mereka sekeluarga kerana dia tidak mahu menyusahkan anak-anak dan saudara mara.
"Buat masa ini, saya terpaksa tumpang tandas dan solat di sebuah stesen minyak berhampiran, mereka banyak bantu dan tidak kisah.
"Saudara mara ada tetapi mereka duduk jauh, saya datang Kuala Lumpur sejak berusia 17 tahun jadi biarlah saya duduk di khemah ini, saya sudah biasa hidup susah," katanya.
Terdahulu, media melaporkan, berlaku kekecohan di kawasan itu apabila penduduk enggan berpindah daripada perkampungan terbabit walaupun sudah menerima notis daripada pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM) Noora Mustafa dipetik berkata, 14 keluarga sudah mendapat tawaran rumah Selangorku dan pampasan pemindahan RM1,000.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... sejak-rumah-diroboh |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|