|
HAMZAH memenangi Yamaha RX-Z ketika pertandingan memancing sempena ulang tahun pertama di Abah23 Paradise Batu 23, Sungai Nibong. FOTO Aziah Azmee
Sekinchan: Niat seorang pemancing yang mahu mendapatkan motosikal tertunai apabila membawa pulang Yamaha RX-Z selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah pertandingan memancing sempena ulang tahun pertama kolam pancing Abah23 Paradise, hari ini.
Hamzah Musa, 53, berkata, dia yang mendaftar seawal jam 8.30 pagi tidak menyangka namanya terpilih dalam cabutan itu.
Katanya, sebelum ini dia pernah memiliki kenderaan sama namun terpaksa dijual atas sebab tertentu.
"Sepanjang pertandingan berlangsung, saya sudah berazam tidak memenangi 'ranking' (ikan paling berat) sebaliknya mahu motosikal.
"Saya bersyukur di atas hadiah ini. Bagaimanapun, belum ada keputusan sama ada untuk menggunakannya atau tidak," katanya ketika ditemui di Batu 23, Sungai Nibong, di sini.
Terdahulu, bapa kepada enam anak itu menerima kunci dan geran daripada pengusaha Abah23 Paradise, Mohd Razif Aini, 38.
Manakala pemenang kedua, Mohamad Zaidi Sungip, 35, pula membawa pulang motosikal Yamaha LC 135.
Seramai 220 pemancing menyertai pertandingan itu dengan kira-kira satu tan ikan dilepaskan di kolam terbabit.
Hadiah utama iaitu wang tunai RM3,000 dimenangi Mohd Azhar Ahmad Yusof, 39, apabila berjaya menaikkan siakap seberat 3.38 kilogram (kg).
Sementara itu, Mohd Razif berkata, Yamaha RX-Z yang dijadikan hadiah cabutan bertuah sebelum itu adalah miliknya selama tiga tahun.
Beliau yang juga pengusaha restoran Abah Ikan Bakar turut memaklumkan mahu mengambil Perodua Myvi pada mulanya.
"Kebetulan pada September setiap tahun, ada program membabitkan Yamaha RX-Z dan ia mendapat sambutan menggalakkan.
"Dari situ saya mendapat idea untuk menukar hadiah dari Perodua Myvi kepada motosikal sebab harga kereta itu sendiri sama dengan Yamaha RX-Z dan ia adalah barang 'rare'," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ing-tapi-dapat-rx-z |
|