View: 7939|Reply: 0
|
[Kelantan]
Masjid sedia rumah inap, rumah sewa jadi dana bantu penduduk
[Copy link]
|
|
Pengerusi Masjid Muhammadiah, Mukim Beris Panchor, Abdul Rahman Mat (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai kepada penerima. Foto NSTP Syaherah Mustafa
KOTA BHARU: Inisiatif pihak pengurusan Masjid Muhammadiah, Mukim Beris Panchor, di sini mewujudkan inap desa, rumah sewa dan restoran, mampu mengumpul dana yang kemudian disalurkan untuk kebajikan penduduk terutama golongan asnaf.
Sejak lebih 10 tahun lalu, masjid berkenaan menyampaikan bantuan asnaf pada setiap bulan, selain mampu membina serta membaik pulih hampir 30 rumah penduduk yang berkelayakan.
Pengerusi masjid, Abdul Rahman Mat, berkata selain memperoleh sumbangan melalui tabung masjid, pihaknya mengambil inisiatif mewujudkan rumah inap, restoran serta rumah sewa bagi membolehkan dana dapat terus disampaikan melalui program kebajikan.
Katanya, setiap bulan pihaknya mengeluarkan RM5,000 untuk bantuan bulanan asnaf berbentuk barangan keperluan serta wang tunai, selain memerlukan RM9,000 bagi tujuan pengurusan termasuk menyelenggara dan membayar bil air atau elektrik masjid.
"Setiap bulan sebanyak 70 penerima akan dipilih untuk menerima bantuan berkenaan, terdiri daripada keluarga asnaf, ibu tunggal dan anak-anak yatim. Pemilihan penerima biasanya dibuat sendiri oleh ahli jawatankuasa masjid yang menyusuri setiap kampung di mukim ini.
"Selain itu, kita juga menyediakan Food Bank dengan peruntukan sebanyak RM600 sebulan bagi menyediakan barangan seperti biskut, beras dan bihun, yang mana boleh diambil oleh sesiapa sahaja yang memerlukan.
"Manakala, program membaiki rumah serta membina baharu mula dijalankan sejak 2018 sehingga kini dan insya-Allah akan diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bulanan kepada asnaf di masjid itu, di sini semalam.
Abdul Rahman yang juga imam masjid berkata, segala usaha itu dijalankan bagi memastikan ekonomi institusi masjid terus berjalan, sekali gus membuktikan fungsinya bukan sahaja dihadkan kepada urusan ibadat semata-mata, sebaliknya ia mempunyai skop yang lebih luas.
"Alhamdulillah, ahli jawatankuasa pengurusan juga adalah dalam kalangan mereka yang profesional seperti peguam, guru dan pesara kerajaan yang sama-sama membantu memberi idea untuk menggerakkan setiap rancangan yang boleh menjana pendapatan kepada masjid.
"Saya sendiri berharap agar pengurusan kami di sini boleh dijadikan contoh kepada masjid lain dalam menjana ekonomi seterusnya memberi manfaat bukan sahaja kepada pembangunan masjid malah anak mukim.
"Cara ini sebenarnya secara tidak langsung dapat menarik anak mukim untuk mengimarahkan Rumah Allah dan bukan hanya bertujuan mencari keuntungan semata-mata," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... dana-bantu-penduduk |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|