View: 6998|Reply: 0
|
[Selangor]
'Anggota penguat kuasa ikut prosedur, tatacara kerja perobohan' - PDT Gombak
[Copy link]
|
|
SALAH seorang penduduk masih melihat di sekitar kawasan perumahan yang telah dirobohkan di Kampung Sri Makmur, Gombak, ketika tinjauan pada 31 Mei lalu. FOTO Bernama
Shah Alam: Anggota penguat kuasa yang bertugas dalam operasi tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan di Kampung Sri Makmur, Gombak baru-baru ini sentiasa mengikut prosedur serta tatacara kerja bagi memastikan keseluruhan struktur terlibat termasuk surau dikosongkan sepenuhnya.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan yang menceroboh tanah hak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 27 dan 28 Mei lalu itu adalah berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024.
Menurutnya, pelbagai barangan, naskah al-Quran, ayat dan kalimah suci atau apa juga bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran telah dialihkan ke tempat yang selamat bagi memelihara kesucian dan kehormatan kitab suci itu di samping mengelakkan kerugian kepada pemilik struktur.
"Pihak pemaju juga telah melantik pekerja-pekerja yang memakai ves keselamatan bagi membantu pemilik struktur memindahkan baki barangan yang masih ada di dalam struktur yang terlibat," katanya.
Sepanjang operasi berlangsung, katanya, provokasi serta halangan dapat dikawal dengan baik namun terdapat juga satu insiden melibatkan empat anggota penguat kuasa diserang pemilik struktur yang terlibat dengan perobohan dan klip videonya telah tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terhadap suspek dan ia kini di bawah tindakan selanjutnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDT Gombak turut menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan palsu seperti yang telah tular dan disensasikan baru-baru ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Media baru-baru ini melaporkan berdasarkan kenyataan media PKNS, isu di kawasan itu bermula sejak Julai 2006 menyaksikan operasi perobohan dilaksanakan terhadap sebahagian unit rumah, namun bancian pada 2016 mendapati jumlah rumah meningkat 204 unit berbanding 80 buah pada 2006.
PKNS sebelum ini berkata, penjualan tanah di kampung itu kepada sebuah syarikat dimeterai pada 8 September 2020 dan syarikat itu memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei lalu.
Kerajaan Selangor juga telah menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati 'ex-gratia' sebanyak RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai PDT Gombak.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... erobohan-pdt-gombak |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|