View: 6639|Reply: 0
|
[Selangor]
Ibu dakwa anak didera pengasuh taska, lapor polis
[Copy link]
|
|
Heng (dua kanan) dan suaminya Kenneth (kanan) menunjukkan laporan polis dan gambar mengenai dakwaan pengasuh ‘mendera’ anaknya berusia tujuh bulan. FOTO Saifullizan Tamadi.
Kajang: Bukan saja disumbat makanan secara paksa, malah rambut turut ditarik sehingga putus.
Itu penderitaan dialami bayi perempuan berusia 17 bulan selepas didakwa 'didera' oleh pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Mahkota Cheras di sini, pada bulan lalu.
Ibu bayi malang itu, Heng Lee Shuan, 32, mendakwa dia hanya mengetahui kejadian selepas menerima beberapa rakaman video dan gambar menerusi aplikasi WhatsApp yang dikongsi oleh bekas pekerja taska pada 28 Mei lalu.
"Dalam rakaman berkenaan, kelihatan seorang wanita dipercayai pengasuh menyumbat makanan ke dalam mulut anak saya secara paksa menyebabkan anak saya menangis.
"Lebih mengejutkan, bekas pekerja itu mendakwa pengasuh terbabit turut menarik rambut anak saya sehingga putus. Dia ada berikan gambar kesan rambut yang putus tapi saya tak pasti itu rambut siapa.
"Dia dakwa kanak-kanak lain turut diperlakukan demikian," katanya dalam sidang media di Pejabat DAPSY Bandar Mahkota Cheras di sini, hari ini.
Turut hadir suaminya, Kenneth Thiah Laa Wei dan Ketua Biro Aduan DAP Selangor, Lee Wen Bin.
Sejurus terima maklumat itu, Heng yang juga peniaga dalam talian berkata, dia menghubungi pemilik taska untuk mendapatkan kesahihan dan meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun pemilik dikatakan memberi rakaman yang sudah disunting.
Menurut Heng, dia berasa tidak puas hati lalu tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Sungai Long, di sini pada Rabu lalu.
Katanya, anak tunggalnya dihantar ke taska swasta berkenaan sejak Mac lalu selepas dia melihat iklan di Facebook yang menawarkan yuran bulanan sebanyak RM1,800.
"Saya memang tak sangka pengasuh memperlakukan anak saya begitu sedangkan kami membayar yuran yang tinggi. Saya difahamkan terdapat kira-kira 10 kanak-kanak dan dua pengasuh bekerja di taska itu.
"Sehingga sekarang anak saya masih trauma, apabila saya mahu menyuapnya makan, dia seperti ketakutan dan menangis. Saya juga sudah takut untuk hantar anak ke taska dan kini menjaganya sendiri di rumah," dakwanya.
Sementara itu, Lee berkata, laporan polis sudah dibuat keluarga mangsa maka sewajarnya pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.
"Saya difahamkan ada kanak-kanak lain turut jadi mangsa, jadi saya minta ibu bapa lain yang anaknya menjadi mangsa untuk tampil buat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan pihak berkuasa," katanya.
Beliau juga berharap pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjalankan siasatan termasuk menyemak sama ada pemilik mempunyai lesen atau sebaliknya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... h-taska-lapor-polis |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|