View: 4428|Reply: 0
|
Rumah agam Messi disembur cat oleh aktivis iklim
[Copy link]
|
|
Gambar menunjukkan rumah agam Messi disembur dengan cat dengan dua aktivis dari kumpulan Futuro Vegetal dilihat memegang sepanduk yang bertulis ‘Help the planet, eat the rich, abolish the police’ di Ibiza. — Gambar AFP
MADRID: Aktivis iklim kelmarin menyembur cat di rumah agam yang dimiliki oleh bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi di pulau percutian Sepanyol, Ibiza, mencetuskan kemarahan Presiden negara pemain itu, Javier Milei.
Aktivis dari kumpulan Futuro Vegetal mengeluarkan video yang menunjukkan dua ahli mereka berdiri di hadapan rumah yang terletak berhampiran teluk Cala Tarida di pantai barat Ibiza sambil memegang sepanduk yang bertulis: “Tolong Planet - Makan Orang Kaya - Mansuhkan Polis.”
Aktivis kemudian menyembur dinding putih bangunan itu dengan cat merah dan hitam.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata mereka mahu menunjukkan “tanggungjawab orang kaya terhadap krisis iklim” dengan menyasarkan rumah agam itu yang mereka katakan sebagai ‘pembinaan haram’.
Futuro Vegetal memetik laporan Oxfam 2023 yang mendapati bahawa satu peratus penduduk terkaya di dunia menjana jumlah pelepasan karbon yang sama dengan dua pertiga populasi manusia termiskin.
Milei bertindak balas dengan marah di media sosial X, mencerca “komunis yang mahu membunuh orang kaya dan memansuhkan polis untuk menamatkan perubahan iklim”.
“Saya menyokong keluarga Messi atas insiden pengecut dan gila ini,” tambahnya sambil meminta kerajaan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menjamin keselamatan warga Argentina yang tinggal di negara itu.
Messi, yang kini bermain untuk Inter Miami di Amerika Syarikat, dilaporkan membeli hartanah itu di pulau Mediterranean yang mempunyai spa dengan sauna dan bilik pawagam pada 2022 daripada seorang ahli perniagaan Switzerland dengan harga sekitar 11 juta euro.
Namun, rumah agam itu tidak mempunyai sijil penghunian, dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan yang mengesahkan rumah berada dalam keadaan yang boleh didiami, disebabkan pembinaan beberapa bilik di dalam hartanah itu tidak mempunyai lesen, menurut laporan media Sepanyol.
Futuro Vegetal, yang mempunyai kaitan dengan kumpulan serupa di peringkat antarabangsa, telah mengadakan berpuluh-puluh protes serupa, termasuk satu protes pada 2022 di mana mereka melekatkan tangan mereka dengan gam pada lukisan oleh pelukis terkenal Sepanyol, Francisco de Goya di muzium Prado Madrid.
Tahun lalu aktivis daripada kumpulan itu mengecat sebuah kapal layar super yang berlabuh di Ibiza dengan cat merah dan hitam yang dikatakan milik Nancy Walton Laurie,jutawan pewaris syarikat runcit gergasi Amerika Syarikat, Walmart.
Polis Sepanyol pada Januari berkata mereka telah menahan 22 anggota Futuro Vegetal, termasuk dua yang menjalankan protes di Prado serta tiga pemimpin tertinggi kumpulan itu. — AFP
https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/08/rumah-agam-messi-disembur-cat-oleh-aktivis-iklim
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|