KUCHING: Kontinjen Sarawak mengutip 71 pingat emas, 51 perak dan 65 pingat gangsa pada Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) sehingga jam 6 petang ini.
Kutipan itu melepasi sasaran 70 pingat emas yang ditetapkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung.
Pingat emas yang ke-70 Sarawak diraih Hii Puong Wei dalam acara 100 meter kuak lentang lelaki di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, petang tadi.
Dengan pencapaian itu, peluang kontinjen Sarawak untuk muncul juara keseluruhan SUKMA buat kali keempat kini semakin cerah.
Namun hasrat Sarawak itu sedikit terancam apabila Wilayah Persekutuan kini menghimpit rapat dengan 69 emas, 61 perak dan 68 gangsa.
Persaingan dua kontinjen itu dijangka bertambah sengit pada hari terakhir SUKMA XXI esok apabila sebanyak 41 lagi acara dipertandingkan.
Sarawak muncul juara keseluruhan pada 1990, 1992 dan kali terakhir 30 tahun lalu iaitu pada edisi 1994.
|