Helmy (depan, tengah) bersama Mariam (depan, empat kanan) dan Lai (depan, kanan sekali) serta yang lain mengibarkan bendera kebangsaan ketika menyanyikan lagu Jalur Gemilang sempena pelancaran program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku SMK Chung Hua Miri, hari ini.
MIRI: Semua rakyat Malaysia diseru untuk menggelorakan semangat patriotik dalam diri dan tanda cintakan tanah air dengan kibaran Jalur Gemilang melalui 'Inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang'.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sarawak Helmy Hamid ketika menyuarakan seruan itu berkata langkah itu diharap dapat meningkatkan penyertaan rakyat menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2024 ini.
Beliau memberitahu demikian sempena Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku yang julung-julung kali dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Malaysia Sarawak dan Kelab Malaysiaku, SMK Chung Hua, Miri.
"Kami di Jabatan Penerangan komited menggelorakan semangat kenegaraan dan patriotisme ke seluruh lapisan masyarakat melalui penganjuran pelbagai program Bulan Kebangsaan dan salah satunya ialah program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku," katanya.
Helmy (depan) mengibar Jalur Gemilang bersama Mariam (di sebelah kiri beliau) dan Lai (di sebelah kanan beliau) serta yang lain semasa menyambut ketibaan pasukan Kembara Merdeka Jalur Gemilang.
Beliau menambah penganjuran program itu sebenarnya merupakan program rintis melibatkan sekolah di beberapa buah negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
"SMK Chung Hua Miri merupakan sekolah pertama di Sarawak melaksanakan program ini dan kita amat berbesar hati atas komitmen dan kerjasama semua pihak dalam menjayakannya.
"Fungsi PENTARAMA ialah menyampaikan maklumat rasmi kerajaan secara bersemuka kepada pelbagai peringkat masyarakat melalui hiburan pentas serta memberi pendidikan tidak formal kepada sasaran dalam membentuk sikap positif supaya masyarakat menyokong dasar dan aktiviti kerajaan," jelasnya.
Kelab Malaysiaku pula ditubuhkan sejak 1995 dengan nama Kelab Setia yang kemudiannya ditukar kepada Kelab 1Malaysia pada 2012 dan pada 2018 telah dijenamakan semula menjadi Kelab Malaysiaku hinggalah sekarang.
Untuk makluman semua, terdapat 809 Kelab Malaysiaku di seluruh Malaysia dan di Sarawak terdapat 45 Kelab Malaysiaku ditubuhkan.
"Selain itu, JAPEN turut memeriahkan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan singgah ke 'pit stop-pit stop' strategik untuk mengadakan program Bulan Kebangsaan termasuk di SMK Chung Hua, Miri," katanya.
Helmy memberitahu tahun ini tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 ialah 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' telah dipilih.
"Jiwa Merdeka adalah penzahiran kepada kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pelbagai cara meliputi aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni dan progresif," jelasnya.
Hadir sama merasmikan pelancaran Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku SMK Chung Hua Miri ini ialah Pegawai Pendidikan Bahagian Miri Mariam Monek yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak.
Kedua-dua mereka kemudiannya bersama dengan guru-guru SMK Chung Hua diketuai pengetua sekolah Lai Jia Ling dan pegawai JAPEN Negeri serta Bahagian Miri menyambut ketibaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang tiba di sekolah tersebut.
|