Mangsa ditemui selepas dihantar orang awam balik ke rumahnya kira-kira jam 10 pagi tadi
Mangsa ditemui selamat hari ini selepas dilaporkan hilang ketika mendaki gunung bersama keluarganya pada Ahad. - Gambar JBPM
KUCHING: Seorang pemuda yang dilaporkan hilang selepas berekreasi bersama keluarga mendaki gunung Sepidang di Kampung Sejijag Mawang, Serian semalam ditemui selamat hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memberitahu, mangsa ditemui selamat selepas dihantar oleh orang awam balik ke rumahnya kira-kira jam 10 pagi tadi.
Menurutnya, mangsa yang berusia 19 tahun itu memberitahu bahawa dia terjatuh dan pengsan ketika dalam perjalanan turun dari mendaki gunung terbabit.
"Setelah sedar, mangsa memberitahu bahawa keadaan semakin gelap (waktu petang) dan cuba mencari jalan keluar (kawasan gunung), namun usahanya gagal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa seterusnya cuba mengikut anak sungai sehingga lelaki itu menemui Kampung Sungan dengan jarak perjalanan lima kilometer.
"Mangsa telah meminta penduduk kampung berkenaan (Kampung Sungan) menghantar dia balik ke Kampung Sejijag," ujarnya.
Dalam pada itu, pasukan bomba menerusi pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut melakukam pemeriksaan awal terhadap mangsa sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tebedu.
Terdahulu, mangsa sebelum itu bersama-sama keluarganya mendaki gunung terbabit kira-kira jam 8 pagi Ahad.
"Kira-kira jam 3 petang, lelaki itu memberitahu keluarganya (ayah) untuk turun dari gunung terbabit lebih awal kerana hendak bermain futsal.
"Setibanya di rumah pada jam 6 petang, ayah mangsa dan ibunya mendapati anak (mangsa) masih belum balik ke rumah bermula pada pagi mangsa keluar bersama-sama mereka (keluarga) hingga ke petang," jelas bomba.
Berikutan kejadian, bapa mangsa telah membuat laporan polis kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas anaknya.
Menurut bomba, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian telah bergegas ke lokasi setelah menerima laporan terbabit pada jam 8.48 malam bagi mengesan mangsa.
|