Pasukan Panther memenangi pertandingan bola jaring Karnival Luass dengan membawa pulang RM1,200, piala iringan dan pingat edisi Karnival Luass.
MIRI: Karnival LuaSS 2024 (Luak Secondary School) yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lepas mendapat sambutan luar jangkaan dengan kehadiran lebih 500 pengunjung.
Penyelaras Karnival Luass 2.0 Mohd Azra amat terharu dengan sambutan luar jangka pengunjung yang tidak putus hadir berterusan sepanjang karnival tersebut.
"Saya juga bersyukur cuaca pada dua hari tersebut menyebelahi kita dan saya merakamkan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa dan mereka terlibat dalam menjayakan program ini," katanya hari ini.
Azra berkata ia merupakan satu aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Luak untuk mengutip dana untuk kegunaan dan keperluan pelajar.
Karnival itu katanya menyasarkan penglibatan komuniti sekitar bandar raya Miri dan seluruh bahagian di Sarawak termasuk negara Brunei dan Indonesia.
Karnival tersebut merangkumi 12 acara utama seperti Fun Run, pertandingan mewarna, mini Autoshow/Bikeshow, pertandingan futsal, pertandingan bola jaring dan pertandingan bola baling.
Turut diadakan, pertandingan badminton, e-sukan, pertandingan karaoke, persembahan busking, gerai jualan dan gerai pameran.
Sementara itu, pasukan Saramo telah menjadi juara keseluruhan pertandingan futsal sementara pasukan Panther telah menjuarai bola jaring Karnival Luass.
Manakala pasukan MyShac juara kategori lelaki dan pasukan Fort memenangi kategori wanita bola baling Karnival Luass.
Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai RM1,200, piala iringan dan pingat edisi Karnival Luass.
Keputusan Pertandingan Badminton lelaki pula digondol oleh pasukan Chipsmore dan pasukan Smash & Burn bagi kategori perempuan.
Acara lain seperti e-sukan dimenangi Rebellion Xpose, sementara karaoke dimenangi oleh Nur Qasrina Qarmila Nikhazim dan pertandingan mewarna dimenangi oleh Eugenia Tie Tze Joe dan Zaheya Wafa.
|