Suspek (tengah) berusia 39 tahun dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.
SIBU: Salah seorang daripada dua beradik yang ditahan reman pada Isnin atas dakwaan terlibat dalam sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dan rasuah pegawai penguat kuasa telah dibebaskan hari ini.
Majistret Oon Kork Chern memerintahkan suspek berusia 39 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seorang lagi saudara suspek yang berumur 42 tahun masih ditahan reman selama empat hari sejak Isnin.
Sumber SPRM memaklumkan pasangan adik-beradik tersebut ditahan bersama tiga individu lagi iaitu dua lelaki dan seorang wanita di depot simpanan diesel di Sungai Bidut, di sini pada Ahad semasa operasi bersama Ops Liter oleh SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN).
Tiga lagi suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini.
Menurut sumber, kelima-lima suspek dipercayai sebahagian daripada sindiket yang menyeleweng minyak diesel untuk nelayan yang dijual dengan harga lebih tinggi kepada pembeli di luar negara.
Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak 2012 dan telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.
Mereka juga disyaki memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi mengelakkan tindakan kerana menyimpan diesel tanpa permit yang sah.
Dalam operasi tersebut, SPRM merampas wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, Seksyen 471 Kanun Keseksaan, dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
|