MATHEW
KUCHING: Seramai 13 lelaki tempatan diberkas di sebuah premis di Sri Aman ketika disyaki sedang bermain judi jenis ‘pasar malam’ dan ‘mahjong’ pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, satu serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sri Aman pada jam 6.30 petang.
Menurutnya, hasil serbuan mendapati kesemua suspek sedang leka mengerumuni satu meja, dipercayai sedang berjudi.
“Pasukan serbuan kemudian bertindak menahan kesemua suspek dan kemudian dibawa ke IPD Sri Aman untuk siasatan lanjut.
“Kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 34 hingga 70 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pasukan operasi turut melakukan rampasan barang-barang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian tersebut.
Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
|