|
TDM rampas 12 lembu seludup bernilai RM60,000
https://www.bharian.com.my/berit ... up-bernilai-rm60000
Oleh Syaherah Mustafa - September 12, 2024 @ 9:59am
[email protected]
Anggota TDM merampas 12 ekor lembu seludup bernilai RM60,000 di tebing Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand, di sini, jam semalam. - Foto ihsan TDM Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen)
TANAH MERAH: Tentera Darat Malaysia (TDM) merampas 12 ekor lembu seludup bernilai RM60,000 di tebing Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand, di sini, jam 1.15 tengah hari semalam.
Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), rampasan berkenaan dilakukan di sektor kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
"Ketika kejadian, pasukan operasi yang bertugas mengesan tiga orang awam sedang melakukan aktiviti penyeludupan haiwan dengan membawa masuk kesemua lembu merentasi sungai cetek dari Thailand ke Malaysia.
"Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek melarikan diri yang mana dua daripada mereka menyeberangi Sungai Golok ke Thailand, manakala seorang lagi memandu pacuan empat roda ke arah jalan utama dan meninggalkan kesemua lembu terbabit.
"Anggota kemudian merampas kesemua haiwan ternakan berkenaan dan membuat laporan di Balai Polis Lalang Pepuyu, di sini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Haiwan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang, manakala kes penyeludupan ini akan disiasat oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, berdasarkan kepada rekod, kes itu adalah rampasan haiwan ternakan yang kedua berlaku di KTJ 8 Bgd sepanjang bulan ini, selepas sembilan ekor kerbau dan seekor lembu dirampas pada 4 September lalu.
Beliau berkata, TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan atau penyeludupan.
|
|