Lee (dua kiri) bersama yang lain ketika menghadiri majlis prapentauliahan dan pemeriksaan fizikal bagi unit pertama kenderaan hidrogen ART di fasiliti pembuatan syarikat CRRC di Yibin, Wilayah Sichuan, China pada Isnin.
KUCHING: Sarawak semakin mendapat perhatian dunia dengan setiap kejayaan yang dicapai dalam projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Menurutnya, projek Autonomous Rapid Transit (ART) yang merupakan tulang belakang projek KUTS telah menarik perhatian bukan sahaja beberapa negeri lain di Malaysia, malah jiran serantau.
"Ini terutamanya apabila kita dapat mempamerkan kenderaan ARThydrogen semasa latihan bukti konsep (POC) dan latihan kejuruteraan pada tahun lepas.
"Saya percaya seluruh dunia memberi perhatian kepada perkara yang kita lakukan dalam mengubah sistem pengangkutan awam, terutamanya usaha menggunakan tenaga bersih, iaitu hidrogen hijau," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa mesyuarat dengan pasukan pengurusan tertinggi syarikat CRRC sempena majlis prapentauliahan di fasiliti pembuatan CRRC di Yibin, Wilayah Sichuan, China pada Isnin.
Lee menekankan, objektif kemampanan adalah yang tertinggi dalam senarai keutamaan Projek KUTS.
Oleh itu katanya, usaha berkaitan sedang dilakukan untuk meneroka semua kemajuan dalam teknologi hidrogen, terutamanya ke arah mengurangkan kos pengeluaran hidrogen hijau untuk keperluan pengangkutan awam negeri.
"Saya percaya seluruh dunia sedang melihat isu pengurangan kos pengeluaran tenaga bersih seperti hidrogen hijau dan jika kita dapat mencari penyelesaian terbaik, ekonomi hidrogen akan mempunyai masa depan yang lebih cerah," katanya.
sambil menegaskan, Sarawak adalah salah satu perintis dalam mengguna pakai sistem pengangkutan awam sifar pelepasan di luar China.
Sementara itu, prapentauliahan dan pemeriksaan fizikal unit pertama kenderaan hidrogen ART telah dilaksanakan di fasiliti pembuatan CRRC di Yibin.
Unit tersebut yang turut dikenali sebagai 'golden train,' bakal menjadi yang pertama daripada dua kenderaan hidrogen ART yang akan dihantar ke Kuching menjelang akhir tahun ini.
Lee yang hadir merasmikan majlis prapentauliahan kenderaan hidrogen ART tersebut turut mengambil bahagian dalam pemeriksaan fizikal dan ujian tunggangan.
Daripada 38 jumlah unit kenderaan hidrogen ART yang dijangka tiba secara berperingkat di Kuching mulai tahun ini, lima akan dihantar dalam keadaan siap sepenuhnya, manakala bakinya dijangka tiba sebagai unit separuh dipasang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Kenderaan ART baharu tersebut menggabungkan beberapa peningkatan, antara lain mampu mendaki cerun sehingga 10 peratus dan boleh digunakan dalam pelbagai persekitaran jalan raya, dengan kelajuan maksimum sehingga 80km/j.
Kenderaan hidrogen ART kini menggunakan reka bentuk yang lebih ringan dah ini dengan ketara mengurangkan berat sebanyak 2.5 tan, menjadikannya lebih cekap tenaga.
Malah, ia juga akan menawarkan kawasan khusus untuk bagasi, kerusi roda dan basikal boleh lipat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng, Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak Cornelia Wong Chui, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Tan Kai, Senior Planning Manager Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Fatehi Marzuki, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd Mazli Mustaffa dan Ketua Pegawai Eksekutif EMGJV Sdn Bhd Chan Chee Kian.
Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa Tetap Yibin Municipal Government Tao Xuezhou, Timbalan Pengurus Besar CRRC Zhuzhou Institute Inc. Chen Jian dan Pengurus Besar Hunan CRRC Intelligent Transport Technology Co. Ltd. Peng Zhonghong.
|