Pelan lokasi pembinaan utama projek LAS sepanjang Jalan Salim di Sibu yang dijadualkan bermula Jumaat ini.
SIBU: Lembaga Air Sibu (LAS) akan memulakan kerja-kerja pembinaan utama di sepanjang Jalan Salim pada Jumaat ini.
Dalam satu kenyataan, LAS menyatakan projek itu adalah sebahagian daripada usaha menaik taraf Loji Salim daripada kapasiti 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD untuk meningkatkan bekalan air di Sibu.
Menurut kenyataan itu, projek yang dijangka dilaksanakan selama enam bulan akan melibatkan pelbagai kerja pembinaan termasuk pemasangan paip MSCL berdiameter 1200mm, pelebaran jalan, penebangan pokok, pemancangan dan pembinaan ruang bawah tanah.
"Laluan terlibat meliputi kawasan dari kompleks beli-belah Sing Kwong hingga ke Bulatan Bukit Lima.
"Kerja-kerja akan dijalankan dua kali sehari iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan jam 7 malam hingga 5 pagi," jelas kenyataan tersebut.
LAS turut menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa melalui kawasan terbabit dan mematuhi segala langkah keselamatan disediakan termasuk papan tanda amaran dan had laju.
Sebarang perubahan kepada jadual kerja akan dimaklumkan oleh LAS dari semasa ke semasa.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 24 jam SWB di 013-8106311 atau melalui e-mel di [email protected].
|