LAWAT: Ruji (empat kiri) ketika melawat ke SMK Kuhara, baru-baru ini.
TAWAU: Semua pelajar di daerah ini perlu memberi tumpuan yang tinggi terhadap ilmu yang disampaikan kerana melalui pendidikan boleh mengubah nasib diri dan keluarga masing-masing.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Ruji Ubi berkata, tanggungjawab seorang pelajar adalah menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh sehingga memperoleh keputusan cemerlang.
Katanya, pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diingatkan supaya mengerah sepenuh tenaga untuk belajar dan mengulangkaji mata pelajaran.
“Pelajar tingkatan lima diminta supaya tidak mengambil ringan persediaan menghadapi SPM kerana masa ini adalah penentu untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Buat sementara waktu ini, pelajar SPM perlu melepaskan semua aktiviti tidak penting dan fokus dengan mata pelajaran yang lemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir melawat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, SMK Kuhara adalah sekolah yang banyak melahirkan modal insan cemerlang dan berjaya memegang jawatan penting dalam kerajaan ketika ini.
“Saya dan ramai lagi yang sudah berjaya adalah alumni SMK Kuhara, malah ada juga yang bekerja serta mempunyai perniagaan di luar negara.
“Saya berharap, pelajar yang ada ketika ini juga mampu mengikut jejak langkah alumni menjadi ketua jabatan, pengarah atau KSU pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Ruji yang baharu sahaja bertukar portfolio daripada KSU Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melawat beberapa sekolah di daerah ini termasuklah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Quok Ming dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ranggu.
|