RIUH BAH!: Fahmi bersama pengunjung menikmati persembahan semasa konsert Riuh Bah! di sini.
MERIAH: Riuh Bah! dihadiri lebih 35,000 pengunjung.
KENANGAN: Fahmi mengambil gambar kenangan bersama Anuar Zain semasa acara Riuh Bah! di sini.
KOTA KINABALU: Acara Riuh Bah! yang berjaya menarik kehadiran lebih 35,000 pengunjung selama program dua hari ini akan diteruskan pada masa akan datang selepas ia dilihat memberi manfaat terutama kepada golongan muda.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, acara yang dianjurkan Kementerian Komunikasi di seluruh negara melalui Kumpulan Mycreative Venture sempena Hari Malaysia adalah peluang yang baik untuk memperlihatkan keupayaan dan juga minat kreatif anak-anak muda.
“Acara ini memberi ruang terutama kepada para usahawan dan pemuzik untuk menunjukkan bakat mereka.
“Harapan saya ramai yang akan mengambil kesempatan untuk menikmati bukan hanya persembahan yang disediakan, juadah yang dijual dan juga kraf yang diperagakan.
“Riuh Bah! yang disertai sebanyak 76 vendor dan pelbagai persembahan ini sejujurnya antara kebanggaan Kementerian Komunikasi dari segi keupayaan menarik minat anak muda dan menonjolkan bakat anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Acara Riuh Bah! Kembara Riuh 2024 yang bermula 14 September itu menjadi acara pembuka tirai sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Beberapa artis ditampilkan dengan persembahan memukau termasuklah Anuar Zain, Estranged, TUJULOCA, Abu Bakar Ellah, IamNeeta, Insomniacks dan artis tempatan Sabah.
Selain muzik dan aktiviti interaktif, terdapat juga 40 vendor kreatif serta 30 vendor makanan dan minuman manakala kempen buy local from local terus menjadi fokus utama bagi menyokong produk usahawan tempatan.
Sehingga kini, empat edisi Kembara RIUH 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCV berjaya menarik jumlah pengunjung seramai 150,000 orang, mencipta 1,708 peluang pekerjaan, menyokong lebih 1,304 pemain industri kreatif tempatan disamping menjana jualan usahawan kreatif yang mencecah lebih RM2 juta.
Inisiatif ini sekali gus meningkatkan nilai industri, mempromosikan produk tempatan dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
|