MUSNAH: Sebanyak 44 buah rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran.
KINABATANGAN: Lebih 150 penduduk hilang tempat tinggal selepas 44 buah rumah di Kampung Pinangah, Tongod, di sini musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, sebahagian besar penghuni tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.24 malam.
Katanya, sepasukan 13 orang anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera bergegas ke tempat kejadian yang terletak 174 kilometer untuk menjalankan operasi memadam.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati beberapa buah rumah sudah musnah dan api semakin merebak ke kawasan lain.
“Pasukan bomba terus menjalankan operasi dan laporan awal dianggarkan sebanyak 44 buah rumah jenis tidak kekal musnah terbakar termasuk sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dan pasukan bomba masih menjalankan operasi pemadaman bagi memastikan api terpadam sepenuhnya
“Punca sebenar kejadian masih disiasat dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
|