SIPITANG: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memastikan tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan Internet di Sabah berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi pembuktian konsep (POC) perkhidmatan jalur lebar Starlink di kawasan pedalaman dan terpencil, pemerkasaan peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan pembinaan menara telekomunikasi.
Terdahulu Peranti Starlink telah dipasang di daerah Papar (dua lokasi), Keningau (dua lokasi), Tawau (dua lokasi) serta masing-masing satu di Kudat, Ranau, Tuaran dan Nabawan.
"Pemasangan peranti POC Starlink ini bagi menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakan satelit tersebut sebagai salah satu langkah untuk memenuhi pelbagai keperluan yang terangkum dalam Pelan JENDELA.
"Kewujudan NADI turut memberikan impak kepada kehidupan penduduk setempat. Setakat ini, 118 NADI telah beroperasi di seluruh Sabah manakala 14 lagi NADI baharu akan dibina, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 132 NADI di Sabah.
"Bagi memperkasakan komuniti selain memastikan capaian serta peluang sama rata, program yang ditawarkan di NADI kini berpaksikan lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan, " menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di bawah Pelan JENDELA bagi Sabah, sebanyak 4,629 stesen pemancar sedia ada dinaik taraf manakala 303,569 premis akan dilengkapi sambungan gentian optik.
Perkhidmatan jalur lebar melalui satelit Broadband Wireless Access (BWA) turut dilaksanakan di 138 lokasi di negeri berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengadakan lawatan ke Kampung Mondikot, Papar, Sabah bagi meninjau perkembangan projek POC Starlink.
Beliau turut menghadiri program Hari Bersama Komuniti di NADI Mesapol, Sipitang serta meninjau perkembangan projek menara komunikasi JENDELA di Kampung Menengah Ulu Sipitang.
Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kasim dan Ketua Pegawai Hal-Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.
|