CHEW
SANDAKAN: Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bangsa dan etnik harus difahami oleh semua rakyat negara ini.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, semua lapisan masyarakat negara ini harus sentiasa peka dan memeliharan keharmonian dan keamanan yang dikecapi Malaysia.
"Jangan mengambil mudah keharmonian hidup yang dicapai ini. Segala konteks perjanjian ke arah kemerdekaan dicapai melalui rundingan damai oleh pejuang-pejuang negara ini pada satu ketika dahulu.
"Rundingan sehingga mencapai kemerdekaan yang dilakukan secara aman perlu dibela dan dihormati, hormati Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak keistimewaan semua kaum dalam negara ini," katanya dalam Perutusan Hari Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, kini kemajuan yang dicapai Sabah tidak setanding pembangunan di Semenanjung Malaysia.
Oleh itu katanya, rakyat negeri ini perlu bersatu hati, berdiri teguh, berintegriti dan saling hormat-menghormati.
"Jangan saling menuding jari tanpa asas, dengan amalan baik yang diamalkan, kita mampu membangun maju lebih jauh ke hadapan," katanya.
Katanya, perkara yang sudah berlaku sebelum ini sudah menjadi sejarah, rakyat Sabah perlu pandang ke hadapan, terima hakikat dan pastikan kesilapan lalu tidak diulangi demi masa depan yang lebih baik.
Chew berkata, Sabah memerlukan kemahuan politik yang kuat dan matang untuk melangkah ke arah kesejahteraan lebih baik rakyat negeri ini.
"Setiap warga wilayah ini juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan hubungan diantara satu sama lain sentiasa kekal teguh.
"Dengan ini, saya dan keluarga mengucapkan selamat Hari Malaysia ke-61 dan selamat menyambut Pesta Kuih Bulan kepada semua masyarakat," katanya.
|