CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17224|Reply: 0

[Sarawak] TAGS berjaya selesai tiga kes gangguan seksual setakat 19 September

[Copy link]
Post time 20-9-2024 03:33 PM | Show all posts |Read mode


(Dari tiga kiri) Nancy, Lukanisman dan Rosey melakukan perasmian Program Outreach Advokasi Antigangguan Seksual sempena Kembara Kasih KPWKM 2024 di Dewan Masyarakat Bekenu, hari ini.

MIRI: Tiga kes gangguan seksual yang dilaporkan ke Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Putrajaya berjaya diselesaikan setakat 19 September.  

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, tiga kes ini masing-masing melibatkan gangguan seksual secara fizikal, lisan dan visual di tempat kerja sektor swasta serta dalam konteks hubungan peribadi antara pengadu wanita dan responden lelaki.

“Daripada tiga kes tersebut, dua keputusan memihak kepada pengadu, manakala satu lagi kes ditolak dan tribunal telah mencapai keputusan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Award dikeluarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pendengaran pertama selaras dengan Seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Advokasi Antigangguan Seksual Sempena Kembara Kasih KPWKM 2024 di Dewan Masyarakat Bekenu, hari ini.

Menjelas lanjut Nancy berkata, bagi kes pertama gangguan fizikal itu dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan dan responden diperintahkan untuk membuat permohonan maaf kepada pengadu.

“Kes kedua adalah gangguan visual di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, responden diperintahkan untuk memohon maaf dan membayar tebus rugi sebanyak RM60,000 kepada pengadu.

“Kita ada kes ketiga, gangguan lisan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, aduan ditolak oleh tribunal.

"Tidak semuanya kita dapat terima, ini berdasarkan fakta kes,” jelasnya.

Sementara itu beliau menjelaskan, TAGS menyediakan saluran alternatif yang pantas, mudah dan kos yang rendah kepada mahkamah sivil.

“Sebenarnya kalau berlaku kes seperti ini, anda boleh bawa ke mahkamah di atas jenayah, tapi mungkin ada juga (pengadu) nak memohon supaya beri tebus rugi, jadi dia boleh pergi kedua-dua ini (termasuk TAGS), terpulanglah kepada si pengadu.

“Mangsa gangguan seksual digalakkan untuk membuat aduan di kaunter TAGS KPWKM Putrajaya atau menghubungi talian Kasih 15999.

“Untuk makluman, kita di Sarawak, masih belum ada, tapi boleh didengar kes di Sarawak, pegawai kita akan datang ke Sarawak.

"Semua proses kita untuk membawa ke setiap negeri yang lain adalah satu proses yang akan kita lakukan secara berterusan,” ujarnya.

Selain itu katanya, TAGS juga berperanan untuk menasihatkan pengadu supaya mengikut keperluan ataupun kriteria yang dikehendaki oleh undang-undang.

Mengulas lanjut Nancy berkata, setakat ini, TAGS belum lagi menerima mana-mana aduan gangguan seksual yang dibuat oleh pengadu lelaki tetapi pihaknya ada menerima laporan yang dibuat di kaunter kaunselor kementerian ini.

“Kalau dulu, kita dapat laporan daripada pihak polis, hanya berbelas, lepas kita mula mengadakan advokasi ini, kita terima sampai beratus.

“Tiga puluh peratus daripada kes tersebut adalah aduan daripada lelaki, tetapi setakat ini mereka (pengadu lelaki) tidak melanjutkan kes ini namun mereka boleh jadikan TAGS ini sebagai saluran untuk membuat laporan,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 11:18 PM GMT+8 , Processed in 0.173420 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list