![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240922/kch-ub220924-at-joairlines-p1.jpg)
Abang Johari berucap pada acara “Night at the Museum” di Muzium Budaya Borneo, malam tadi. - Gambar Penerangan
KUCHING: Rancangan Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri dijangka direalisasi hujung tahun ini, kata Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Langkah tersebut kata Abang Johari, sekali gus akan melonjakkan industri pelancongan dan perhubungan ke rantau ini.
“Kita memerlukan orang untuk datang dan untuk itu kita perlukan akses yang lebih baik.
“Pada penghujung tahun ini, insya-Allah, kita akan ada syarikat penerbangan sendiri, yang akan membawa pelancong ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada acara “Night at the Museum” di Muzium Budaya Borneo, Sabtu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Tun Wan Junaidi menyaksikan penyerahkan cenderamata kepada Abang Johari (kiri) daripada Abdul Karim. - Gambar Penerangan
Sebagai tambahan kepada penerbangan Sarawak itu, Abang Johari berkata lapangan terbang antarabangsa baharu akan dibina dengan kapasiti sehingga 15 juta penumpang.
Lapangan terbang antarabangsa baharu itu katanya akan dilengkapi dengan kemudahan terkini seperti yang terdapat di Doha.
“Ia akan mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan, tetapi sebaik beroperasi, ia akan memainkan peranan penting dalam menarik pelancong dan perniagaan ke Sarawak,” katanya.
Dengan pembangunan ini, Abang Johari berharap Sarawak akan menjadi bukan sahaja destinasi pelancongan popular tetapi juga lokasi bagi acara perniagaan antarabangsa.
Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Muzium atas usaha mereka memperkukuhkan jaringan kerja bukan sahaja di kalangan kakitangan mereka tetapi juga masyarakat umum termasuk muzium-muzium lain.
“Kita mahu standard muzium kita setanding dengan muzium antarabangsa dan saya gembira muzium ini adalah antara yang terbaik,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
|