CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 37240|Reply: 0

[Sarawak] Laporan Khas Tragedi Yoga Anggiska: Pengajaran dan Nasihat Buat Pekerja Migran di Sarawak

[Copy link]
Post time 23-9-2024 05:14 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 23-9-2024 09:19 AM

Kami menceritakan kisah tragis Yoga ini buat pembaca dan pekerja imigran serta bakal pekerja yang ingin bekerja di luar negara asal masing-masing, bertujuan menggambarkan pentingnya pekerja imigran masuk menggunakan dokumen sah, memiliki permit bekerja, menjalani pemeriksaan kesihatan yang penuh serta mempunyai kebenaran tinggal berkaitan bidang pekerjaan yang ditawarkan.


Jika berlaku sebarang tragedi atau masalah, pekerja sah dan berdaftar lebih mudah dibantu, dan menangani kes juga akan lebih pantas.

Berbanding pekerja tidak sah atau bekerja di sektor tidak sah, jika berlaku masalah atau tragedi, bantuan jadi rumit, majikan mudah lepas tangan, malah melibatkan masa yang panjang dan kos yang tinggi.

Pekerja tidak sah juga terlepas daripada menikmati kemudahan insurans, pampasan dan sebarang ganti rugi.

Bahkan, laporan khas ini penting dibaca oleh warga Sarawak sendiri yang ingin bekerja di luar negara, agar mengikut prosedur sah yang ditetapkan pihak berkuasa negara sendiri dan negara destinasi tempat bekerja, supaya sebarang isu yang timbul kemudiannya lebih mudah diuruskan.

SIRI 1

KELUARGA DARI KERINCI, SUMATERA CARI KEHILANGAN YOGA ANGGISKA DI BAU


EDITOR bertugas menerima sekitar 10 mesej daripada individu berbeza dari Kerinci, Jambi, Sumatera, melalui akaun Messenger Suara Sarawak seawal 16 Ogos 2024 dan beberapa hari sesudah itu.


Berikut ialah beberapa mesej dari Messenger yang menarik perhatian Editor Bahagian Digital kami.
  • 16 Ogos, 9.53 pagi: “Tolong bang berita orang Indonesia yang hilang di tambang emas.” – Hasmirudin
  • 16 Ogos, 1.15 petang: “Assalamualaikum… kami dari Indonesia..mohon bantuan..karena teman kami telah tertimbun Tanah di tambang emas dekat bau..” – Dadinofriyanto
  • 16 Ogos, 16.29 petang: “Kak saya mau tanya, apa ada berita tanah longsor di Sarawak? Pasal nya ada saudara kerja dekat tambang mas Sarawak bau. Katanya ditimbun longsor. Dapat berita dari kawan nya, bahwa saudara kami tertimbun tanah kedalaman 100meter. Sedangkan kawannya yang 3 orang itu selamat.” – Efrianti Renii.
  • 17 Ogos, 10.29 pagi: “Assalamualaikum. Mohon maaf bang, kmi mau minta tlong. Ttg keluarga Kami yang bekerja di tambang emas ilegal di serawak, di bau. Apa ada kes tanah runtuh pada tgl 13 Agustus 2024. Kami keluarga yoga anggiska dari indonesia.” – Miiya Miiya




Ketika itu, para wartawan dan editor sibuk membuat liputan Sukan Malaysia (Sukma) XXI dengan Sarawak menjadi tuan rumah, berlangsung rasmi 17-24 Ogos.


Dalam kesibukan membuat liputan, perlawanan bola sepak Sukma sudah pun bermula seawal 12 Ogos di Sibu, Mukah dan Bintulu.
Seterusnya diikuti perlawanan acara boling, kriket, futsal, muaythai dan sebagainya.
Di sebalik Sukma, editor bertugas sempat mencari kesahihan mesej yang disampaikan beberapa saudara yang mengaku dari keluarga Yoga Anggiska, pemuda asal Desa Sungai Batu Gantih, Kecamatan Gunung Kerinci, Kabupaten Kerinci, Jambi, Sumatera yang dikhabarkan hilang di Bau.
Ketika itu pempengaruh media sosial di Kerinci sudah memviralkan misteri kehilangan Yoga ini.
Berikut berita awal yang kami siarkan di Facebook dan laman sesawang Suara Sarawak. Semuanya dengan nada mengharap.


BERITA AWAL KEHILANGAN YOGA

Di mana Yoga? Keluarga dari Jambi, Sumatera hubungi Suara Sarawak selidik nasib Yoga di Bau (terbitan 19 Ogos 2024)
KUCHING: Bahagian Digital Suara Sarawak menerima mesej daripada Rizqia, jiran keluarga Yoga Anggiska dari Desa Sungai Batu Gantih, Kecamatan Gunung Kerinci, Kabupaten Kerinci, Jambi, Sumatera.
Mesej melalui aplikasi Messenger itu berkaitan hal keberadaan Yoga, 26, di Bau, Sarawak.

“Salam encik, kami dapat musibah anak kami dikabarkan meninggal pada 13 Ogos 2o24… apa benar pada tarikh ini ada runtuh tambang (lombong) emas dan ada yang tertimbun…” tulis Rizqia Semata Wayang melalui Messenger pada 18 Ogos, 2.37 petang.


Rizqia berkongsi berita berkaitan keberadaan Yoga yang tersiar di Facebook Berita Kerinci Sungai Penuh bertajuk “Misteri khabar meninggalnya Yoga dan keberadaannya di Sarawak, Malaysia”.

Laporan berita itu menyebut, Yoga tulang belakang keluarganya di Jambi, dikhabarkan meninggal dunia oleh teman sekerjanya di lombong Bau, akibat tertimbus tanah.
Namun, keluarganya sukar menerima khabar tersebut kerana tiada bukti diberikan rakannya.

Menurut sumber, pada malam 12 Ogos lepas, Yoga sempat menghubungi ibunya memberitahu dia tidak bekerja kerana hari hujan.


Yoga turut memberitahu ibunya, dia mahu mengirim sejumlah wang kepada ibunya di kampung.

Kenyataan di Facebook yang dikongsikan Ahli keluarga mangsa melaporkan, selepas Yoga menelefon ibunya malam sebelumnya, kemudian salah seorang teman Yoga pula menelefon ibunya jam 9 pagi berikutnya, memberitahu bahawa Yoga sudah meninggal dunia akibat tertimbus tanah.

Menurut laporan tersebut, khabar meninggalnya Yoga membuat keluarga tidak menerima penjelasan temannya itu.

Suara Sarawak juga berjaya menghubungi ayah tiri Yoga pada pagi Isnin, 19 Ogos melalui WhatsApp, dan beliau berharap kes ini menemui penjelasan dan sekiranya Yoga meninggal, di mana jasadnya?

Sebaliknya jika Yoga masih hidup, keluarganya berharap Yoga dibantu agar dapat pulang ke kampung halamannya di Kerinci.

Dalam perkembangan terbaru, ahli keluarga Yoga yang lain melalui mesej di Mesengger memberitahu, pihak keluarga mahu berangkat dalam waktu terdekat, menaiki pesawat dari Padang menuju lokasi kejadian di Bau, Sarawak.

Menurut saudara kepada Yoga, penggalangan dana pergerakannya dibiayai melalui sumbangan orang ramai yang kempennya dilancarkan di media sosial.


Sementara itu, Suara Sarawak menghubungi sumber boleh dipercayai, pada 17 Ogos, yang mengatakan tiada laporan rasmi diterima pihak berkuasa setempat setakat hari tersebut, berkaitan tragedi yang melibatkan hilang nyawa di kawasan yang dimaksudkan.

Namun, Suara Sarawak difahamkan daripada sumber penduduk berdekatan tapak kejadian, bahawa berlaku tanah gelongsor sekitar tarikh dimaksudkan dalam aduan daripada ahli keluarga mangsa kepada Suara Sarawak.

Suara Sarawak difahamkan, terdapat pelombongan emas tidak sah beroperasi di Gunung Tabai di Bau.

Berita ini kurang mendapat sambutan warganet dan pembaca di laman sesawang kerana tumpuan pembaca ketika itu fokus kepada kehangatan berita Sukma XXI.

CADANGAN BUAT KAMI
DAN NASIHAT BUAT KELUARGA MANGSA

Tidak banyak yang dapat kami lakukan untuk membantu pencarian mangsa oleh ahli keluarga ini.

Selaku wartawan yang diberi tugas menjejak kisah kehilangan Yoga ini, kami dinasihatkan menunggu kedatangan ahli keluarga mangsa ke Kuching melalui Pontianak dan Sambas.


Kami hanya dapat menasihati ahli keluarga melalui Mesengger, agar menghubungi pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching dan pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

Di Kerinci, berita kehilangan Yoga di Gunung Tabai, Bau diviralkan oleh pempengaruh media sosial dan mendapat perhatian Kepala Desa serta pihak berkuasa setempat.


Antara konten disiarkan pempengaruh setempat di Kerinci berkaitan kehilangan Yoga di Bau yang dimuat naik di Facebook.

BANTUAN SUNARDI PEJUANG KEMANUSIAAN SBMI

Seminggu berlalu, selepas kami menyiarkan berita berkaitan kehilangan Yoga di media sosial dan laman sesawang Suara Sarawak, kami difahamkan dua waris mangsa sedang dalam perjalanan dan mereka didampingi oleh saudara Sunardi Purhan, 43, pejuang kemanusiaan dan hak pekerja migran Indonesia.

Sunardi, aktivis sosial dari Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat, mendedikasikan dirinya untuk memperjuangkan hak pekerja migran Indonesia sejak 2020, ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

Sebagai anggota Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI) Cabang Kabupaten Sambas, beliau berjaya menyelesaikan lebih 200 kes melibatkan pelbagai isu kritikal berkaitan pekerja warga Indonesia di luar negara, khususnya di Malaysia.

Difahamkan juga, keberangkatan waris agak mengambil masa kerana usaha dilakukan untuk mengumpul dana bagi urusan pembelian tiket pesawat dan menampung keseluruhan kos perjalanan serta penginapan waris sepanjang berada di perantauan.

Menurut saudara sepupu kepada mangsa, Ari Putra Matnor, 42, beliau berangkat bersama-sama seorang lagi saudaranya yang juga sepupu Yoga dari sebelah ibunya, Kapteruddin, 53, dari Lapangan Terbang Padang, Sumatera.

Dari kampung menuju lapangan terbang sahaja mereka mengambil masa enam jam menaiki kereta seterusnya menempuh perjalanan dalam tempoh 24 jam sebelum tiba di Kuching, Sarawak.

Berita kehilangan Yoga dilaporkan pada 13 Ogos 2024. Waris Yoga datang di Kuching sekitar dua minggu selepas itu iaitu pada petang Ahad, 25 Ogos.

Sebaik-baik sahaja waris sampai di Kuching, dengan ditemani Sunardi, aktivis sosial dari Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI), pada Isnin 26 Ogos, mereka langsung berjumpa KJRI di Kuching melaporkan tragedi yang menimpa Yoga pada 9 pagi.

Manakala, pada petang Isnin itu juga mereka membuat laporan di IPD Bau.

Namun, kata kunci kepada semua hal ini menurut Sunardi ketika ditemui ialah pihak berwewenang memerlukan saksi tampil memberi kenyataan dan menunjukkan lokasi yang dimaksudkan.

Difahamkan, saksi diperlukan demi memudahkan pencarian di kawasan gua gunung yang luas dan banyak lubang itu.

PUTUS ASA DAN TAWAR HATI

Masuk hari ketiga berada di Kuching, ketika ditemui wartawan, waris kepada Yoga, Kapteruddin dan Ari Putra memberitahu kami, bahawa mereka ingin balik kampung sahaja di Kerinci, Jambi, Sumatera.

Mereka terasa sangat putus asa dan tawar hati kerana menjangkakan proses mencari keberadaan Yoga hanya mengambil masa singkat dua atau tiga hari.

Sedangkan kos perjalanan mereka memakan belanja yang besar dan kini dihambat masalah biaya penginapan, pengangkutan serta makan dan sebagainya.

Seperti diketahui, saksi mata kejadian yang juga merupakan rakan rapat Yoga, sudah pun kembali ke kampung halaman di Indonesia dan tidak dapat dihubungi hingga saat ini.



WARTAWAN SUNTIK SEMANGAT


Di wajah Ari Putra dan Kaptruddin jelas sekali tampak putus asa.

Di situlah wartawan dan jurufoto kami menawarkan sekali lagi, mengajak mereka bertiga berjumpa konsulat demi menyuntik semangat baharu buat mereka untuk meneruskan misi pencarian sehingga berjaya sebagaimana doa dan harapan warga Desa Sungai Batu Gantih di Kerinci.

“Kami berdua menangis di KJRI,” akui Ari dan menyambung “mau gi mana lagi, ya pulang sajalah,” ujar Ari mengenangkan pencarian mereka berdua selaku waris yang diharapkan keluarga dan penduduk sekampung seakan-akan sudah menemui titik hujungnya.

Terngiang-ngiang di telinganya akan harapan diluahkan ibu Yoga, adik kepada ibu Ari semasa mereka berangkat dari kampung halaman menjalankan misi mencari keberadaan Yoga.

Dalam hal ini, Sunardi seorang aktivis sosial dari SBMI dari Sambas yang menjadi pendamping waris mangsa, sangat memainkan peranan penting mengatur perjalanan, memberi khidmat nasihat kepada waris yang tampak kebingunan.

Sunardi yang sudah banyak menyelesaikan isu kemanusiaan seperti ini di Sarawak, maka beliaulah yang banyak menyokong, termasuk dari segi pergerakan, memahami lokasi setempat dan memberi suntikan moral kepada dua waris ini yang mula menunjukkan tanda menyerah.


CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG


Seperti ada cahaya di hujung terowong, menurut Sunardi, melalui data dan jejak digital ditinggalkan Yoga sebelum ini, di media sosial termasuk Facebook dan telefon pintar, beliau berjaya menghubungi dua saksi mata yang sedia memberi keterangan secara sukarela dengan pihak berwewenang seperti diminta bagi memudahkan pencarian mangsa di Gunung Tabai di Bau.

Saksi ini pernah menghubungi Kepala Desa melalui aplikasi sembang sebelumnya, namun kerana masalah liputan Internet, perbualan di media sosial dengan saksi sangat sukar, terputus-putus dan memakan masa untuk mendapat respons, bahkan saksi pernah disangka “menghindar” atau “menghilang diri”.

Dua saksi ini sudi tampil menceritakan kisah yang berlaku dan sedia menunjukkan lokasi hilangnya Yoga.

Sunardi menyimpan kisah tersendiri bagaimana sukarnya beliau menghubungi dan bertemu saksi ini.

Sebelum itu, Sunardi mengatakan pihak keluarga mempunyai maklumat berkaitan individu yang didakwa sebagai “tauke” kepada Yoga Anggiska.

Namun, menurut Sunardi, individu yang dikatakan pernah mengirim sejumlah wang ke akaun keluarga Yoga di kampung beberapa hari selepas tersebarnya berita kemalangan menimpa Yoga, telah memberitahu bahawa dia bukanlah majikan Yoga.

Di sinilah bagi Sunardi, kesan tidak baiknya apabila pekerja masuk dan bekerja dengan tidak melalui saluran yang sah.




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 11:39 PM GMT+8 , Processed in 0.055220 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list